AKPS perkukuh keselamatan, teliti tubuh pasukan khas susulan insiden tembakan

SUNGAI BULOH - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan memperkukuh kawalan keselamatan dan kesiapsiagaan anggotanya, termasuk meneliti penubuhan pasukan khas, susulan insiden tembakan terhadap kenderaan dinaiki seorang komander agensi itu pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah AKPS (Pengurusan), Ismail Mokhtar berkata, langkah berkenaan dibuat selaras dengan proses pengambilalihan operasi dan aset daripada enam agensi teras termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia, selain penilaian semula risiko di pintu masuk negara.
"Kita ke arah itu (penubuhan pasukan khas) bagi memperkukuh aspek keselamatan. Dalam tempoh pengambilalihan ini, pasukan penguat kuasa, unit risiko serta kawalan operasi di pintu masuk akan diperkemaskan,” katanya pada sidang media selepas Program Ihya Ramadan dan Iftar bersama warga AKPS di sini pada Rabu.
Beliau berkata, AKPS kini mengendalikan 22 pintu masuk yang diklasifikasikan mengikut tahap risiko, termasuk beberapa lokasi berstatus "hotspot” yang memerlukan pendekatan penguatkuasaan lebih ketat.
Mengulas insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam itu, Ismail menyifatkan kejadian tersebut sebagai ancaman serius namun menegaskan ia tidak akan menjejaskan semangat dan komitmen anggota.
Ismail berkata, kawalan akan diperketatkan dan permohonan aset keselamatan termasuk persenjataan akan dipercepat bagi memastikan perlindungan pegawai.
"Kita tidak berkompromi terhadap sebarang ancaman kepada anggota dan operasi akan diteruskan seperti biasa dengan langkah keselamatan dipertingkatkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah turun ke lokasi bagi menilai situasi serta memberi sokongan kepada pegawai terlibat.
Terdahulu, sebuah Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir dilaporkan ditembak kira-kira jam 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat Subuh dilaporkan terselamat. - Bernama
Ringkasan AI
- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia akan memperkukuh kawalan keselamatan dan kesiapsiagaan anggotanya termasuk meneliti penubuhan pasukan khas
- Operasi dan aset dari enam agensi teras akan diambilalih oleh AKPS
- AKPS mengendalikan 22 pintu masuk yang diklasifikasikan mengikut tahap risiko termasuk beberapa lokasi berstatus "hotspot"
- Kawalan akan diperketatkan dan permohonan aset keselamatan termasuk persenjataan akan dipercepat
- Sebuah Proton X70 dipandu oleh SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak di Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin terselamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
