Wajib simpan 20 peratus daripada pendapatan

MASHITAH (kanan) dalam Wacana Rakyat yang dihoskan Ismail Adnan (kiri).
MASHITAH (kanan) dalam Wacana Rakyat yang dihoskan Ismail Adnan (kiri).
A
A
A

KEINGINAN melaksanakan ibadah haji tidak akan tercapai jika syarat istito’ah atau kemampuan dari pelbagai sudut termasuk kewangan tidak dapat dipenuhi.

Bagaimanapun, dalam memenuhi tuntutan istito’ah dari sudut kewangan tersebut, perancangan perlu disusun dan dilaksanakan dari awal.

Dalam mengulas perkara ini, seorang lagi ahli panel Wacana Rakyat yang merupakan pencipta kandungan, Mashitah Sedik berpendapat, seseorang yang berkeinginan tinggi untuk menunaikan impian termasuk menunaikan ibadah haji ini ‘wajib’ menyimpan sebanyak 20 peratus daripada pendapatannya.

“Sudah pasti kita akan melakukan apa sahaja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian termasuklah ibadah haji ini.

“Untuk mencapainya, kita perlu membuat pembahagian daripada pendapatan setiap bulan iaitu 50 peratus untuk komitmen, 30 peratus untuk kehendak dan 20 peratus lagi untuk simpanan,” jelasnya.

Ujarnya, walau apapun yang berlaku, peratusan untuk simpanan tidak boleh dikurangkan.

MASHITAH
MASHITAH

“Jika berlaku keadaan di mana komitmen menjadi tinggi pada bulan tersebut, kita boleh mengurangkan peratusan pada bahagian kehendak, bukan pada bahagian simpanan.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, komitmen pada bulan ini telah mencapai 70 peratus, maka peratusan untuk kehendak dikurangkan menjadi 10 peratus sahaja.

“Bahagian simpanan sebanyak 20 peratus sama sekali tidak boleh dikurangkan dan diusik,” hurainya.

Lebih separuh rakyat tiada dana kecemasan

Tambahnya, apa yang lebih menyedihkan apabila wang simpanan dalam akaun Tabung Haji sering digunakan sekiranya berlaku kecemasan atau kekangan kewangan.

“Data daripada Bank Negara Malaysia berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan (FCI) menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai dana kecemasan sebanyak RM1,000.

“Biasanya, akaun Tabung Hajilah yang akan menjadi mangsa jika berlaku kecemasan seperti ayah masuk hospital dan anak sakit.

“Di situlah kegagalan berlaku, akibat gagal untuk menyimpan disebabkan asas kewangan sendiri yang tidak stabil,” katanya.

Oleh itu katanya, setiap individu perlu mempunyai asas kewangan yang kukuh selain disiplin diri tinggi untuk menjayakan simpanan pada masa akan datang.

Bagaimanapun menurut pandangannya, masalah tabungan ini tidak boleh dipukul rata kepada semua orang memandangkan masing-masing menghadapi situasi yang berbeza.

TERUS asing wang daripada pendapatan bulanan sebagai simpanan selepas mendapat gaji. Foto Canva
TERUS asing wang daripada pendapatan bulanan sebagai simpanan selepas mendapat gaji. Foto Canva

“Ada orang mempunyai pendapatan yang mencukupi, namun komitmen dan tanggungjawabnya pula tinggi.

“Sebahagian lain pula mempunyai pendapatan mencukupi namun berlebihan dalam memberikan self reward kepada diri sendiri.

“Ada juga yang mempunyai pendapatan mencukupi namun tidak mempunyai sistem kewangan yang tersusun menyebabkan dia mengeluarkan kembali wang simpanannya itu,” jelasnya.

Ujarnya, kembali kepada perbincangan awal, seseorang itu wajib menyimpan sebanyak 20 peratus daripada pendapatannya setiap bulan.

Mulakan dengan 5 peratus

Bagaimanapun katanya, bagi mereka yang tidak mampu menyimpan sebanyak 20 peratus tersebut atas sebab-sebab tertentu termasuk golongan muda yang baru bekerja, mulakan terlebih dahulu dengan menyimpan sebanyak lima peratus.

MENABUNGLAH sejak dari kecil sebagai persediaan awal untuk melaksanakan ibadah haji. Foto Canva
MENABUNGLAH sejak dari kecil sebagai persediaan awal untuk melaksanakan ibadah haji. Foto Canva

“Jangan tunggu lebihan daripada gaji untuk menyimpan. Jika begitu keadaannya, dia tak akan berjaya dalam simpanan.

“Dapat gaji, terus simpan terlebih dahulu sebanyak lima peratus,” katanya.

Ujarnya lagi, jika tidak dapat menyimpan juga daripada pendapatan bulanan itu, maka seseorang itu perlu memikirkan untuk mencari pendapatan tambahan melalui kerja sambilan dan keluar dari zon selesanya.

Sebagai penutup, beliau berpesan, jadikan menabung sebagai satu amalan berterusan dalam persediaan menunaikan ibadah haji apabila dijemput ALLAH SWT pada bila-bila masa.

Ringkasan AI

  • KEINGINAN melaksanakan ibadah haji memerlukan syarat istito'ah terutama dari sudut kewangan
  • Seseorang disarankan menyimpan 20 peratus daripada pendapatannya untuk menunaikan haji
  • Pembahagian gaji bulanan seharusnya 50 peratus untuk komitmen, 30 peratus untuk kehendak dan 20 peratus untuk simpanan
  • 61 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai dana kecemasan sebanyak RM1,000
  • Bagi mereka yang baru bekerja atau tidak mampu menyimpan 20 peratus, mula dengan menyimpan lima peratus dari gaji

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!