Usia muda tunai haji
Istiqamah menyimpan setiap bulan bolehkan Anis laksana Rukun Islam kelima bersama tiga adik-beradiknya tahun lalu

MENJEJAKKAN kaki ke Tanah Suci menjadi tetamu ALLAH SWT terutamanya dalam melaksanakan kewajipan fardu haji merupakan impian yang ditanam di lubuk hati umat Islam sejak kecil lagi.
Walaupun menunaikan ibadah haji merupakan antara ibadah yang paling sukar dilakukan antara kelima-lima Rukun Islam itu, kita tetap mahu melaksanakannya juga biar perlu menempuh pelbagai cabaran yang mendatang.
Kisah seorang wanita berusia 20-an yang berjaya menunaikan ibadah haji pada usia muda menjadi inspirasi buat semua dan menepis perspektif bahawa haji hanya mampu dilaksanakan pada usia tua.
Ketika ditanya mengenai rahsia berjaya menjadi tetamu ALLAH menunaikan haji pada usia muda, Anis Anissa Anuar, 27, menjelaskan, amalan menabung yang dididik sejak kecil oleh ibu bapanya menjadi antara kunci kejayaan tersebut.

“Memang dari kecil lagi ibu bapa dah bukakan akaun Tabung Haji untuk saya, kakak dan abang. Kami juga dibawa ke kaunter Tabung Haji setiap tahun untuk tujuan simpanan wang terutamanya selepas musim raya.
“Ibu bapa sudah pesan awal-awal kepada kami bahawa duit simpanan ini adalah untuk melakukan ibadah haji kelak,” katanya pada program Wacana Rakyat bertajuk Nak naik haji, tapi tak mahu usaha! yang diadakan di Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.
Tambahnya, amalan menabung di dalam akaun Tabung Haji itu kemudiannya dilaksanakan pada setiap bulan secara konsisten walaupun simpanan serendah RM50.
Ujarnya, jika mahu tunggu kaya atau mempunyai duit yang banyak terlebih dahulu untuk menyimpan, hasrat untuk menunaikan haji pada usia muda mungkin tidak akan menjadi kenyataan.
“Saya mewajibkan diri untuk menyimpan ini setiap bulan tanpa menetapkan amaun. Ini kerana saya juga ada komitmen lain.
“Bagaimanapun, sekurang-kurangnya saya akan menyimpan dalam akaun Tabung Haji sebanyak RM50 setiap bulan,” jelasnya.
Paksa diri menabung, kawal kehendak
Mengulas mengenai cabaran bagi golongan muda sepertinya untuk menyimpan, beliau menjelaskan, apa yang penting ialah mengawal kehendak diri apabila sudah mempunyai pendapatan sendiri.
Bagaimanapun katanya, golongan muda perlu menetapkan had perbelanjaan masing-masing dan memaksa diri untuk menyimpan secara berterusan.
“Perlu paksa diri untuk istiqamah menyimpan pada setiap bulan dengan cara mengasingkan terlebih dahulu duit daripada pendapatan walaupun sedikit,” katanya.
Hasil disiplin yang diamalkan ditambah didikan ibu bapa dari kecil, beliau menerima tawaran menunaikan haji pada usia yang muda.
“Pada ketika itu, simpanan dalam akaun Tabung Haji hanyalah sekitar RM10,000 dan saya menambah baki yang diperlukan daripada pendapatan kerja sampingan selain berniaga dalam talian untuk mencukupkan syarat minimun RM15,000.

“Lebih terharu, kami empat beradik berjaya menunaikan haji bersama-sama pada tahun lalu, hasil simpanan dan didikan ibu bapa sejak kecil.
“Kini kami mewariskan pula amalan ini kepada generasi baharu iaitu anak-anak untuk membuka akaun Tabung Haji selepas dilahirkan dan istiqamah menabung selepas itu,” katanya.
Menabung sebagai budaya keluarga
Sementara itu, seorang lagi ahli panel iaitu Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri menjelaskan, ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting untuk menjadikan menabung sebagai suatu amalan dan budaya anak-anak.
“Apa yang dilihat anak-anak itulah yang akan menjadi pegangan mereka sama seperti pepatah bapa borek, anak rintik.
“Simpanan untuk mengerjakan haji ini bukan wajib seperti yang diamalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Jadi, peranan ibu bapalah yang membantu anak-anak untuk terus melaksanakan amalan menabung ini,” katanya.
Beliau menambah, ramai dalam kalangan umat Islam meluahkan hasrat dan kerinduan untuk menjadi tetamu ALLAH, namun simpanan untuk mengerjakan ibadah haji sering ditangguhkan.

“Kajian menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan lebih empat jam sehari untuk melayari media sosial sekali gus banyak terdedah kepada pengaruh perbelanjaan tidak terkawal.
“Tambahan pula budaya fear of missing out (FOMO) dan you only live once (YOLO) dipacu media sosial turut mendorong masyarakat berbelanja untuk kepuasan segera berbanding ganjaran masa hadapan seperti ibadah haji,” jelasnya.
Beliau menekankan bahawa amalan menjadikan simpanan sebagai keutamaan hidup dan budaya keluarga mampu menterjemahkan niat kepada tindakan sebenar, selain mengawal kehendak nafsu untuk berbelanja lebih daripada keperluan.
Ringkasan AI
- Menunaikan ibadah haji pada usia muda menjadi inspirasi dengan kisah Anis Anissa Anuar yang berjaya berkat amalan menabung sejak kecil Amalan menabung secara konsisten dalam akaun Tabung Haji, serendah RM50 sebulan, menjadi kunci untuk mencapai kejayaan menunaikan haji Diperlukan disiplin dan kebijaksanaan dalam mengawal kehendak diri serta kebiasaan berbelanja untuk meneruskan amalan menabung Berhasilnya Anis dan adik beradiknya menunaikan haji bersama-sama merupakan bukti kesungguhan dan pendidikan menabung dari ibu bapa sejak kecil Amalan menabung sebagai budaya keluarga dan mengutamakan simpanan untuk ibadah haji ditekankan oleh ibu bapa dan disokong oleh ahli akademik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

