Kerajaan Kelantan jelaskan isu bot kibar bendera Israel hanya lakonan semula

Dr Mohamed Fadzli
Dr Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan meminta semua pihak supaya tidak salah tafsir berhubung isu sebuah bot yang mengibarkan bendera Israel semasa Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza pada Jumaat lalu kerana ia hanyalah lakonan semula menggambarkan kejadian sebenar yang berlaku terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, lakonan itu bertujuan menggambarkan bot tentera Israel menyerang pejuang Palestin dengan kejam sebelum akhirnya berjaya dikalahkan.

“Bot tentera Israel itu terbakar. Bagi yang biasa menonton pentomin, adegan sebegitu adalah perkara biasa. Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa ia merupakan lakonan kekejaman tentera Israel.

“Apabila diambil sebahagian daripada keseluruhan peristiwa, ramai yang keliru. Sebenarnya bot yang membawa bendera Israel itu adalah lakonan bot pengganas yang akhirnya dikalahkan oleh pejuang Palestin.

“Berbagai hujah diberikan tetapi meletakkan tajuk seperti ‘bendera Israel berkibar megah di bumi Serambi Mekah’ itu sudah melampau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Menurut beliau, program berkenaan diadakan bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin dan sebagai tanda solidariti terhadap GSF baru-baru ini.

Pada masa yang sama, beliau memuji pihak penganjur kerana prihatin terhadap perjuangan rakyat Palestin serta berusaha membuat sesuatu yang berbeza untuk menunjukkan sokongan dan menarik perhatian awam agar sentimen solidariti itu terus subur.

Mohamed Fadzli turut berharap agar orang ramai tidak membangkitkan kebencian tanpa mengetahui maksud sebenar di sebalik penganjuran program tersebut.

“Janganlah disebabkan lakonan itu, keseluruhan usaha dan kejayaan penganjuran acara tersebut tidak dihargai, malah dikeji,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan Kelantan meminta agar tidak salah tafsir isu bot bendera Israel dalam Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza sebagai kekejaman Israel
  • Lakonan itu bertujuan menggambarkan kekejaman yang dilakukan oleh bot tentera Israel terhadap pejuang Palestin
  • Lakonan tersebut menyimbolkan bot pengganas Israel yang akhirnya dikalahkan oleh pejuang Palestin
  • Program tersebut diadakan sebagai sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan solidariti terhadap Global Sumud Flotilla
  • Mohamed Fadzli berharap agar lakonan dalam program tidak menimbulkan kebencian dan agar usaha penganjuran dihargai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!