Pemindahan patung berhala Kuil Sri Uchimalai Muniswaran berjalan lancar tanpa insiden

GOMBAK – Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang kerja-kerja pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Rawang Perdana, di sini, yang berlangsung dari malam Selasa hingga awal pagi Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, proses tersebut dilaksanakan bermula jam 9.30 malam Selasa hingga 4.12 pagi Rabu.
“Seramai 10 penganut bersama wakil pengurusan kuil terlibat dalam kerja-kerja pemindahan kesemua empat patung berhala di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shazeli berkata, pihak pemilik tanah juga telah memulakan kerja pembersihan tapak kuil tersebut pada awal pagi selepas segala urusan pemindahan selesai dilaksanakan oleh pihak pengurusan kuil.
“Sepanjang proses tersebut berlangsung, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan keadaan dipantau oleh pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak agar terus menghormati saluran perundangan sedia ada serta tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama.
“Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah yang sah.
“Pihak polis juga akan memantau dengan ketat sebarang penularan maklumat di media sosial dan memberi amaran keras terhadap penyebaran kandungan berbaur 3R (agama, bangsa dan diraja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Gombak
- Proses pemindahan berlangsung dari jam 9.30 malam Selasa hingga 4.12 pagi Rabu
- Seramai 10 penganut dan wakil pengurusan kuil terlibat dalam pemindahan empat patung berhala
- Pemilik tanah memulakan kerja pembersihan tapak kuil pada awal pagi selepas pemindahan selesai
- Ketua Polis Selangor mengingatkan untuk menghormati perundangan dan tidak mengambil tindakan yang mengganggu keharmonian kaum dan agama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
