Operasi perobohan kediaman bagi projek WCE berjalan lancar - Polis

SHAH ALAM - Operasi perobohan kediaman di Kampung Jawa bagi projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Klang berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sepanjang operasi dijalankan keadaan baik dan terkawal dengan jumlah keanggotaan mencukupi.
"Kerjasama masyarakat baik dan saya ucapkan terima kasih.
"Tiada tangkapan setakat ini dan pihak polis sentiasa membuat persiapan bagi memastikan keadaan terkawal," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.
Sinar Harian melaporkan, konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek Seksyen 3 WCE, Klang yang berlarutan hampir enam tahun akhirnya berakhir apabila kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan dalam keadaan aman pada Selasa.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati sebanyak 19 rumah di kawasan seluas 0.73 hektar itu mula dirobohkan seawal jam 8 pagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan secara terperinci mengenai situasi melibatkan jajaran 150 meter yang menjadi punca utama projek WCE yang kini lebih 90 peratus siap tetapi masih tergendala.
Konflik melibatkan kawasan dan sebilangan kecil penduduk enggan mematuhi arahan turut menyebabkan kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 WCE tergendala lebih 20 bulan dan menjejaskan keseluruhan projek lebuh raya yang diumum pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.
Ringkasan AI
- Operasi perobohan kediaman di Kampung Jawa untuk projek WCE berjalan lancar
- Ketua Polis Selangor memuji kerjasama masyarakat dan mengatakan tiada tangkapan dilakukan
- Konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek WCE berlarutan selama hampir enam tahun
- 19 rumah di kawasan seluas 0.73 hektar mula dirobohkan
- Konflik menyebabkan kerja pembinaan di Seksyen 3 WCE tergendala lebih dari 20 bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
