Ahmad Zahid syor langkah segera bantu PKS

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional menggesa kementerian serta agensi berkaitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia) mencari jalan terbaik membantu PKS di saat kritikal ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini bersesuaian dengan peranan SME Corp Malaysia sebagai agensi penyelaras pusat (CCA) yang melibatkan 17 kementerian dan lebih 60 agensi.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi BN berkata, pertemuan dan perbincangan segera serta berkala perlu diadakan bagi mendengar pandangan dan cadangan persatuan mewakili PKS.

Ini kerana katanya, pakar ekonomi termasuk Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan pembuangan pekerja akan berlaku sebesar 1 hingga 2 juta orang dalam beberapa bulan akan datang jika permasalahan penguncupan ekonomi dan PKS tidak dirungkai segera.

“Setelah saya meneliti pandangan dan kenyataan akhbar beberapa persatuan PKS, untuk merangsang pasaran dalam jangka pendek dan sederhana, beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengurangkan bebanan PKS.

“Antaranya, pembayaran dan obligasi wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Majikan dan pekerja diberikan pengecualian caruman sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan akan datang.

“Membenarkan penangguhan pembayaran cukai tertunggak untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kastam dan cukai lain sekurang-kurangnya enam bulan serta pengurangan cukai pendapatan, cukai jualan, setem tugas untuk 2020.

“Dasar ini sedang diterapkan di banyak negara. Selain itu, mempermudahkan pengeluaran dana PKS yang sedang atau sudah diluluskan. Ini kerana dalam tempoh PKP, syarikat kecil lebih memerlukan dana berbanding organisasi besar,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penekanan larangan pemberhentian pekerja kepada majikan melalui Akta Buruh di bawah Jabatan Tenaga Kerja telah menjadi dilema kepada PKS.

Sehubungan itu beliau berpendapat, satu kaedah yang lebih praktikal perlu dirangka supaya berlaku kompromi ‘menang-menang’ untuk kebaikan pekerja dan majikan.

Katanya, dalam usaha mengurangkan impak kelembapan ekonomi, langkah segera perlu dirangka bagi mengurangkan bebanan PKS berikutan sektor ini memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Tindakan segera kerajaan dapat mengurangkan kesan negatif pasca PKP kepada majikan dan pekerja. Saya yakin Menteri Kewangan akan menimbangkan dengan sewajarnya pandangan dan keluhan PKS seperti mana kenyataannya sebelum ini. Bersama-sama kita doakan semoga segala usaha kerajaan membantu rakyat keseluruhannya dipermudahkan,” katanya.