PKP: 12 individu ditahan mahu beli roti, air dan rokok

Acryl Sani sedang menyoal individu yang ditahan kerana ingkar PKP di sekitar Petaling Jaya semalam.
Acryl Sani sedang menyoal individu yang ditahan kerana ingkar PKP di sekitar Petaling Jaya semalam.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 12 individu ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan pelbagai alasan tidak munasabah termasuk mahu membeli roti, air dan rokok pada jam 11 malam di beberapa lokasi di daerah ini.

Kesemua individu berusia 20 hingga 52 tahun itu ditahan dalam Operasi Covid-19 bermula jam 9 malam tadi.

Turut ditahan seorang lelaki berusia 20-an bersama sebotol air ketum serta seorang lagi lelaki berumur 52 tahun yang mempunyai rekod jenayah samun di Endau pada 2007.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, alasan tersebut tidak dapat diterima memandangkan semua kedai ditutup pada jam 8 malam.

“Orang yang rasional pun susah nak terima alasan untuk membeli barangan itu pada jam 10 malam atau 11 malam.

"Kita pun tahu kedai sudah tutup, perkara sebegini mengecewakan kita dan masyarakat lain,” katanya pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol PJS2 di sini semalam.

Acryl Sani berkata, pihaknya akan terus mengetatkan penguatkuasaan supaya kadar pematuhan PKP di seluruh negara meningkat kepada 100 peratus.

“Orang ramai perlu peka dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak berkenaan, kita sedang melawan sesuatu yang tidak nampak.

Artikel Berkaitan:

"Jika kita leka, maka ia akan menggagalkan misi untuk memastikan kadar kes direkodkan kepada sifar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya sudah mengkaji beberapa lokasi di daerah berkenaan yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘meriah’ apabila masih ramai lagi individu ingkar dengan arahan PKP di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian dilakukan sejak minggu lalu di lokasi yang dikenal pasti itu, kita mendapati masih ramai individu keluar rumah tanpa alasan munasabah terutama di Taman Medan, Taman Dato Harun, Ara Damansara dan Damansara Damai.

“Disebabkan itu, kami melancarkan operasi dengan kekuatan 13 kereta peronda polis (MPV), 15 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan tiga pasukan Op Cantas membabitkan 52 anggota melakukan pemantauan di lokasi berkenaan,” katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya akan memberikan nasihat dan amaran terlebih dahulu kepada orang ramai supaya tidak keluar rumah sebelum jam 10 malam.

“Jika masih ada individu yang ingkar arahan (selepas jam 10 malam), kami akan terus membuat tangkapan,” katanya.

Dalam kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan kerajaan memutuskan semua premis termasuk pasar raya, restoran dan stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi mulai jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Menurutnya, pelaksanaan itu akan berkuat kuasa semalam serentak dengan fasa kedua PKP dan meskipun terdapat sekatan yang lebih tegas dalam fasa kedua itu, namun pergerakan masih dibenarkan.