APM Kuala Krai tingkat pemantauan susulan hujan lebat berterusan

KUALA KRAI – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai telah menjalankan pemantauan paras air di beberapa kawasan sekitar daerah ini susulan hujan lebat berterusan yang melanda sejak petang Jumaat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai, Kapten Abd Fatah Abd Aziz berkata, hujan lebat yang bermula sekitar jam 4.30 petang mengakibatkan limpahan air di beberapa kawasan utama antaranya Guchil 1, Stesen Minyak Caltex Guchil dan kawasan bawah jambatan kereta api menuju ke pusat bandar Kuala Krai.
“Bagi tujuan pemantauan dan keselamatan awam, sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi terjejas sekitar jam 6.15 petang.
“Ketika pemantauan dijalankan, keadaan cuaca dilaporkan hujan renyai-renyai dan paras air masih dalam keadaan terkawal. Tiada pemindahan atau kejadian tidak diingini dilaporkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, paras air Sungai Kelantan di kawasan berkenaan juga berada pada tahap normal dan hujan kini semakin reda.
Ujarnya, APM Kuala Krai akan terus menjalankan pemantauan rapi dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan berisiko banjir, bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini daripada sumber rasmi, serta segera menghubungi talian kecemasan sekiranya berlaku sebarang keadaan yang memburuk.
Ringkasan AI
- APM Kuala Krai menjalankan pemantauan paras air susulan hujan lebat sejak petang Jumaat
- Hujan lebat mengakibatkan limpahan air di kawasan utama seperti Guchil 1 dan Stesen Minyak Caltex Guchil
- Sepasukan anggota APM digerakkan untuk pemantauan dan keselamatan awam sekitar jam 6.15 petang
- Paras air Sungai Kelantan di kawasan tersebut berada pada tahap normal dan hujan semakin reda
- APM akan terus menjalankan pemantauan rapi di kawasan berisiko dan mengingatkan orang ramai untuk berwaspada
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

