Anggota polis hilang sudah ditemui

SUBANG JAYA – [DIKEMAS KINI] Misteri kehilangan seorang anggota polis yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu akhirnya terjawab apabila lelaki berkenaan ditemui selamat pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, anggota berusia 40 tahun itu dikesan kembali ke kuarters Balai Polis USJ 8 sekitar jam 1.45 pagi.
Anggota dari Balai Polis USJ 8 telah mengesan pergerakan kenderaan milik anggota tersebut memasuki kawasan kuarters balai.
"Susulan itu, pegawai penyiasat yang mengendalikan kes dimaklumkan mengenai perkara tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, pasukan penyiasat kemudiannya membawa anggota berkenaan ke Balai Polis USJ 8 dan memaklumkan kepada isterinya untuk hadir ke balai bagi membuat laporan pengesahan.
"Anggota terbabit kini berada dalam keadaan selamat dan sihat.
"Hasil siasatan mendapati sepanjang tempoh kehilangannya, beliau berada di beberapa masjid sekitar Morib, Banting dan Putra Heights," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah serta gagal dihubungi oleh ahli keluarganya sejak Rabu lalu.
Lelaki berkenaan, dikenali sebagai Mohd Fadhil Mohamed @ Ahadiah, kali terakhir dilihat berada di rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan USJ 8 pada 15 Oktober.
Beliau dipercayai keluar dari kediaman berkenaan dengan memandu kereta Proton Saga hitam bernombor pendaftaran WC 8024 K.
Laporan kehilangan itu dibuat oleh ahli keluarganya pada 16 Oktober lalu sekitar jam 9.15 malam selepas mangsa gagal dihubungi untuk tempoh dua hari berturut-turut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

