Wanita disamun ketika buang sampah, enam suspek diberkas

SHAH ALAM – Seorang wanita menempuh detik cemas apabila disamun beberapa individu bersenjatakan pisau dalam kejadian di lorong berhampiran Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang merupakan warga Indonesia dikatakan sedang berjalan kaki seorang diri untuk membuang sampah di kawasan berhampiran tempat tinggalnya sebelum didatangi sekumpulan individu menaiki sebuah Perodua Axia berwarna merah.
Bagaimanapun, tindakan kesemua suspek itu mengundang padah apabila mereka diberkas polis pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.19 petang.
"Hasil siasatan awal mendapati beg tangan mangsa telah disamun oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan pisau.
"Mangsa yang ketika itu berjalan kaki seorang diri untuk membuang sampah telah didatangi suspek yang menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna merah sebelum beg tangannya diragut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menjalankan operasi susulan pada hari sama.
"Pada jam lebih kurang 9 malam, polis berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
"Turut dirampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628 bagi membantu siasatan," katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan kejadian melibatkan seorang wanita yang disamun sekumpulan individu dipercayai bersenjatakan pisau di kawasan perumahan di Shah Alam.
Ringkasan AI
- Seorang wanita disamun oleh beberapa individu bersenjatakan pisau di lorong berhampiran Jalan Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam
- Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi semasa mangsa sedang membuang sampah
- Para suspek menaiki sebuah Perodua Axia berwarna merah
- Polis berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita yang dikaitkan dengan kejadian tersebut pada hari sama
- Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

