Ada hikmah di sebalik penangguhan Olimpik

Penganjuran acara sukan berprestij itu ditangguhkan ekoran penularan wabak Covib-19. - Foto AFP
Penganjuran acara sukan berprestij itu ditangguhkan ekoran penularan wabak Covib-19. - Foto AFP
A
A
A

KEPUTUSAN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke tahun depan boleh dianggap satu hikmah kepada kontinjen Malaysia dalam misi memburu pingat emas sulung Olimpik.

Biarpun sebelum ini kebanyakan atlet berada dalam ketidaktentuan ekoran wabak Covid-19, setidak-tidaknya pengumuman IOC menetapkan 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 sebagai tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo boleh melegakan mereka.

Jika dilihat dari sudut positif, 12 atlet Malaysia yang telah melayakkan diri secara merit ke Tokyo sudah boleh mempersiapkan diri masing-masing. Mereka mempunyai masa lebih setahun untuk memperbaiki apa yang kurang.

Paling utama, mereka perlu mengelakkan diri daripada ditimpa kecederaan. Jika itu berlaku, ia pasti menjadi satu kerugian paling besar buat atlet itu sendiri selepas mengerah segala keringat dalam mengejar misi ke Olimpik.

Bagi yang belum mengesahkan tiket ke Tokyo atau layak secara merit, inilah peluang terbaik dan ‘talian hayat kedua’ buat mereka memburu slot untuk beraksi di pentas sukan paling berprestij di dunia itu.

Bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 35 atlet Malaysia beraksi di Tokyo, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) harus menggembleng tenaga.

Tetapi harus diingat, dalam kita rancak menghitung langkah ke Tokyo, kualiti itu lebih penting berbanding kuantiti. Jangan lupa, misi Olimpik kali ini bukan sekadar pelengkap jadual tetapi misi memburu kilauan emas sulung.

Dengan ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang sudah ‘menggantung raket’, kini sandaran diletakkan pada bahu jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang untuk menyambar emas sulung Olimpik yang didambakan jutaan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Melihatkan komitmen serta semangat juang The Pocketrocketman setiap kali turun menggegar velodrom, bukan sesuatu yang mustahil pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu menjelmakan emas sulung Olimpik.

Kepada Azizulhasni serta seluruh atlet negara, ayuh buktikan kalian mampu menggenggam emas Olimpik di bumi Tokyo, sekali gus memahat sejarah baharu sukan Malaysia.