Jackie akur pingat emas 'dirampas' Kittipong

Jackie (kiri) dan Sadat Marzuki meraikan kejayaan selepas masing-masing merangkul perak dan gangsa acara akhir baling tukul besi Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo pada Isnin. - Foto Bernama
Jackie (kiri) dan Sadat Marzuki meraikan kejayaan selepas masing-masing merangkul perak dan gangsa acara akhir baling tukul besi Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong terpaksa akur dengan pingat perak selepas emasnya dirampas musuh ketat dari Thailand, Kittipong Boonmawan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, pada Isnin.

Balingan sejauh 64.20 meter (m) pada percubaan ketiga daripada sejumlah enam balingan tidak berjaya mengatasi catatan musuh ketatnya itu yang melakukan 64.49m juga pada percubaan ketiga, untuk merampas semula emas daripada tangan Jackie dan seterusnya mengulangi pencapaiannya pada 2019.

Bagaimanapun, saingan penuh kontroversi itu menyaksikan Jackie, yang turut pernah menjuarai edisi 2017, mendakwa dia berjaya membuat balingan terakhirnya sejauh 64.64m sebelum catatannya tidak ditolak susulan kesilapan teknikal para juri pada hari pertama di Stadium Nasional Morodok Techo.

Keputusan itu menyaksikan wakil kem olahraga negara melakukan protes, namun Jackie berkata, juri memutuskan bahawa Kittipong diangkat sebagai juara bagi acara berkenaan.

“Kita telah failkan protes dan lancar rayuan, juri kata mereka akan melihat video tetapi beliau tidak menunjukkan video itu dan terus menolak rayuan kami... macam mana boleh jadi begini, memang itu tidak adil bagi saya.

“Saya memang tak boleh terima keputusan ini kerana mereka tak nyatakan alasan yang cukup kukuh (protes ditolak),” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Jackie yang ternyata kecewa dengan keputusan itu berharap kontroversi itu dapat diberikan perhatian sepenuhnya oleh Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023 Datuk Mohd Nasir Ali bagi memastikan insiden berkenaan tidak berulang kepada atlet olahraga kebangsaan lain di Kemboja.

Dalam pada itu, pingat gangsa dimenangi seorang lagi wakil Malaysia, Sadat Marzuqi Ajisan yang mencatat balingan terbaik, 59.76m pada percubaan terakhirnya.- Bernama