[VIDEO] 'Terlupa, tak tahu wajib pakai alasan penumpang tak pakai tali pinggang keledar'
SHAH ALAM - Terlupa dan kononnya tidak mengetahui kewajipan memakai tali pinggang keledar antara alasan utama penumpang bas yang didapati melanggar peraturan keselamatan sepanjang penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, tahun lalu.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, berdasarkan statistik, seramai 30 penumpang telah dikenakan kompaun kerana gagal memakai tali pinggang keledar ketika kenderaan sedang bergerak.
Menurutnya, kesalahan tersebut melanggar Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008) yang memperuntukkan kompaun sebanyak RM300 bagi setiap kesalahan.
"Majoriti penumpang yang dikesan melakukan kesalahan itu memberi alasan terlupa atau tidak tahu peraturan ini dikuatkuasakan.
"Namun, ia bukan alasan yang boleh diterima kerana pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib demi keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Terminal Seksyen 17, di sini pada Jumaat.
Katanya, JPJ Selangor turut melaksanakan operasi penyamaran sebagai penumpang dalam bas termasuk pada waktu malam bagi mengesan kesalahan secara lebih berkesan.
"Operasi ini turut dijalankan dengan sekatan jalan raya di lokasi tertentu bagi memastikan tahap pematuhan pengguna jalan raya berada pada tahap tinggi," katanya.
Menurutnya, pengusaha bas diingatkan agar memastikan penumpang mematuhi arahan keselamatan termasuk pemakaian tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.
"Langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan.
"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan musim perayaan," katanya.
Ringkasan AI
- Terlupa dan tidak tahu adalah alasan utama penumpang bas melanggar peraturan pemakaian tali pinggang keledar di Selangor Seramai 30 penumpang bas dikenakan kompaun RM300 kerana gagal memakai tali pinggang keledar Pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib mengikut Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor JPJ Selangor melaksanakan operasi penyamaran dalam bas untuk mengesan kesalahan pemakaian tali pinggang keledar Pengusaha bas diingatkan memastikan penumpang mematuhi arahan keselamatan termasuk pemakaian tali pinggang keledar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

