Ali Shaath pemimpin teknokrat harapan Gaza

Ali Shaath. Foto: Agensi
Ali Shaath. Foto: Agensi
A
A
A

GENTING GAZA – Nama Ali Shaath tidak begitu dikenali, namun beliau diberi kepercayaan besar untuk mengetuai jawatankuasa teknokratik baharu di bawah fasa kedua pelan damai Gaza.

Jurutera awam ini pernah memegang beberapa jawatan penting, termasuk bekas Timbalan Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa serta Setiausaha Rendah di Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpusat di Ramallah.

Menerusi wawancara bersama stesen tempatan, Radio Basma, baru-baru ini, Shaath memperincikan usaha memulihkan semula Gaza yang musnah teruk akibat perang ganas selama lebih dua tahun.

“Kita bukan bercakap tentang pembinaan biasa, tetapi pembangunan dari awal,” katanya sambil menekankan keperluan segera untuk menyediakan tempat berlindung kepada kira-kira 2.2 juta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.

Menurutnya, jawatankuasa pimpinannya akan merangka pelan bagi bekalan air, pemulihan telaga, proses penulenan serta air terawat yang menjadi kunci kepada kesihatan, pendidikan dan hospital yang telah dimusnahkan Zionis.

Shaath menjangkakan proses pembersihan sisa runtuhan di Gaza dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun. Foto: AFP
Shaath menjangkakan proses pembersihan sisa runtuhan di Gaza dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun. Foto: AFP

Shaath, 67, juga merancang untuk menambak Laut Mediterranean dengan timbunan sisa runtuhan bagi menambah keluasan tanah di enklaf berkenaan.

“Kita boleh mengembangkan lagi kawasan di Gaza dan pada masa sama membersihkan lambakan sisa konkrit,” katanya yang menjangka proses pembersihan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

Shaath juga percaya Gaza akan kembali seperti biasa dalam jangka masa tujuh tahun, meskipun jangkaan itu dianggap agak mustahil.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2024 bagaimanapun menunjukkan usaha pembinaan semula wilayah itu mungkin berterusan hingga 2040 atau beberapa dekad lagi.

Ambil alih kawalan Gaza

Di bawah pelan damai yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) menerusi Presiden Donald Trump, jawatankuasa tersebut akan diselia oleh sebuah ‘Lembaga Keamanan’ yang dipengerusikan Trump.

Dari segi bidang kuasa, panel itu akan mengambil alih lebih 50 peratus kawasan di Gaza yang kini dikuasai Israel, seterusnya mengawal seluruh wilayah seluas 365 kilometer persegi dari laut hingga ke sempadan timur.

Mandat jawatankuasa berkenaan tidak merangkumi soal keselamatan dan penyelarasan dengan kumpulan bersenjata.

“Kami bukan ‘askar’. Hanya 15 pakar pembinaan semula yang dibantu kakitangan. Kami lebih memfokuskan idea berbanding senjata,” jelasnya.

Fokus utama beliau adalah untuk memberikan bantuan kemanusiaan segera termasuk menyediakan tempat tinggal kepada penduduk Gaza yang kini berlindung di bawah khemah sementara. Foto: AFP
Fokus utama beliau adalah untuk memberikan bantuan kemanusiaan segera termasuk menyediakan tempat tinggal kepada penduduk Gaza yang kini berlindung di bawah khemah sementara. Foto: AFP

Penubuhan jawatankuasa itu turut disambut baik Presiden PA, Mahmoud Abbas, dan gerakan Hamas yang mengesahkan tidak mahu terbabit dalam pentadbiran Gaza pada masa akan datang, sekali gus mengehadkan peranan mereka kepada kapasiti pemantauan.

Dijangka berdepan cabaran

Dr Ali Abdel Hamid Shaath dilahirkan di Khan Yunis, selatan Gaza, pada 1958 dan kini menetap di Tebing Barat.

Beliau pernah melanjutkan pengajian di Universiti Ain Shams di Mesir dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan awam dari Queen’s University Belfast, Ireland Utara, dengan kepakaran dalam infrastruktur serta pembangunan bandar.

Penilaian optimistik Shaath mengenai garis masa projek pembangunan semula Gaza dijangka berdepan cabaran kerana negara perantara masih bergelut untuk mencapai persetujuan berhubung pelucutan senjata Hamas yang enggan berbuat demikian, selain cadangan penempatan misi pengaman di kawasan tersebut.

Selain itu, cara panel berkenaan akan melaksanakan pelan pembangunan semula serta mendapatkan kebenaran untuk mengimport dan menggunakan jentera serta peralatan berat yang lazimnya diharamkan Israel masih belum jelas.

Seorang kakitangan pertubuhan antarabangsa yang bekerja di wilayah Palestin turut menyatakan sikap skeptikal terhadap pelantikan Shaath.

“Beliau tidak kelihatan seperti pilihan yang sesuai kerana kurang popular,” ujarnya yang enggan identitinya didedahkan. - Agensi

Ringkasan AI

  • Ali Shaath ditugaskan memimpin jawatankuasa teknokratik baharu untuk pemulihan Gaza
  • Beliau memiliki pengalaman sebagai Timbalan Menteri dan Setiausaha Rendah di Kementerian Pengangkutan Palestin
  • Projek pemulihan termasuk penyediaan tempat tinggal untuk 2.2 juta penduduk dan pemulihan infrastruktur penting
  • Shaath merancang untuk menambak Laut Mediterranean guna meningkatkan keluasan tanah Gaza
  • Usaha pembangunan semula Gaza oleh Shaath dihadapkan dengan cabaran termasuk peraturan import Israel dan persetujuan politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!