PBB desak Israel gugur rang undang-undang hukuman mati sasar rakyat Palestin

Volker Turk. - Agensi
Volker Turk. - Agensi
A
A
A

GENEVA - Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk pada Jumaat menggesa pihak berkuasa Israel membatalkan rancangan memperkenalkan undang-undang baharu yang mewajibkan hukuman mati secara eksklusif ke atas rakyat Palestin dalam keadaan tertentu, sama ada di Wilayah Palestin Diduduki mahupun di Israel.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Turk berkata cadangan tersebut bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dalam beberapa aspek.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, beberapa cadangan yang sedang dibentangkan di Knesset Israel untuk merendahkan ambang penggunaan hukuman mati menimbulkan kebimbangan serius berkaitan diskriminasi terhadap rakyat Palestin serta pelanggaran hak perbicaraan adil, selain pencabulan undang-undang hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Apabila melibatkan hukuman mati, PBB jelas dan menentangnya dalam semua keadaan.

“Ia amat sukar untuk diselaraskan dengan maruah manusia serta membawa risiko tidak boleh diterima untuk menghukum mati individu yang tidak bersalah,” katanya.

Turk berkata, cadangan berkenaan tidak selaras dengan obligasi Israel di bawah Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.

“Pengenalan hukuman mati mandatori yang tidak memberi sebarang budi bicara kepada mahkamah merupakan pelanggaran terhadap hak untuk hidup,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa cadangan itu menimbulkan kebimbangan hak asasi manusia lain, termasuk sifatnya yang bersifat diskriminasi kerana hanya akan dikenakan ke atas rakyat Palestin.

Menurutnya, bahasa yang digunakan dalam undang-undang tersebut, selain kenyataan beberapa ahli politik Israel, menunjukkan ia bertujuan untuk dikenakan hanya kepada rakyat Palestin yang sering disabitkan kesalahan selepas melalui perbicaraan yang tidak adil.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengingatkan bahawa penafian jaminan perbicaraan adil terhadap rakyat Palestin dari Tebing Barat dan Genting Gaza seperti yang termaktub dalam Konvensyen Geneva Keempat adalah merupakan satu jenayah perang. - Bernama

Ringkasan AI

  • Ketua Hak Asasi Manusia PBB menggesa Israel membatalkan rancangan hukuman mati untuk rakyat Palestin
  • Cadangan hukuman mati itu bercanggah dengan undang-undang antarabangsa
  • Hukuman mati dianggap sebagai diskriminasi terhadap rakyat Palestin dan pelanggaran hak asasi manusia
  • PBB menentang penggunaan hukuman mati dalam semua keadaan
  • Cadangan itu dianggap sebagai pelanggaran terhadap hak untuk hidup dan bersifat diskriminatif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!