Gaji MB, Exco, ADUN Selangor dipotong isi tabung Covid-19

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM8.07 juta daripada gaji Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai atasan anak syarikat kerajaan Selangor akan dipotong dan disalurkan kepada Tabung Khas Bantuan Covid-19 Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 hari ini.

“Dengan mengamalkan ‘Whole of government, Whole of society approach’ Tabung Khas Bantuan Covid-19 Selangor akan didirikan. Ia akan bermula dengan potongan gaji Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN serta anak-anak syarikat kerajaan negeri yang menjangka jumlah RM8.07 juta.

“Untuk Menteri Besar dan Exco pemotongan adalah sebanyak 50 peratus manakala ADUN (30 peratus); kakitangan kerajaan Jusa C dan ke atas (30 peratus) dan jawatan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (30 peratus)," katanya.

Terdahulu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor bersetuju membantu usaha kerajaan Pusat untuk menghapuskan wabak Covid-19 di negeri ini.

Menurutnya, menerusi Pakej Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan, kerajaan negeri juga akan menyalurkan peruntukan khas kali kedua berjumlah RM30,000 kepada semua ADUN di Selangor.

“Menyedari keperluan seluruh kerajaan negeri bekerja sebagai satu pasukan, peruntukan khas kali kedua sebanyak RM30,000 akan disalurkan kepada ADUN.

“Ahli majlis, ketua kampung tradisi, pengerusi majlis pengurusan komuniti kampung baru, ketua komuniti juga akan menerima peruntukan khas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing kecuali Majlis Daerah Sabak Bernam yang akan disalurkan oleh kerajaan negeri. Sebanyak RM6.91 juta diperuntukkan untuk peruntukan khas ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: