Hampir 90 peratus bangunan sekolah di Gaza rosak, musnah akibat perang Israel - UNRWA

Sekolah yang masih terselamat sebahagian besarnya telah ditukar menjadi pusat perlindungan, menyebabkan kanak-kanak terpaksa menerima pendidikan di ruang pembelajaran sementara. Foto Agensi
Sekolah yang masih terselamat sebahagian besarnya telah ditukar menjadi pusat perlindungan, menyebabkan kanak-kanak terpaksa menerima pendidikan di ruang pembelajaran sementara. Foto Agensi
A
A
A

ISTANBUL - Hampir 90 peratus bangunan sekolah di seluruh Semenanjung Gaza mengalami kerosakan atau musnah semasa perang Israel selama dua tahun di kawasan enklaf itu, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Agensi Bantuan dan Kerja  Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Khamis.

Dalam satu hantaran di laman X, agensi itu memaklumkan bahawa sekolah-sekolah yang masih terselamat sebahagian besarnya telah ditukar menjadi pusat perlindungan, menyebabkan kanak-kanak terpaksa menerima pendidikan di ruang pembelajaran sementara atau melalui platform digital.

"Di seluruh Gaza, hampir 90 peratus daripada semua bangunan sekolah rosak atau musnah semasa perang," kata agensi itu sambil menambah bahawa pasukannya terus memberikan sokongan pembelajaran meskipun dalam keadaan kemusnahan yang meluas.

Sekurang-kurangnya 591 rakyat Palestin maut dan lebih 1,578 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Perang Israel ke atas Gaza, yang bermula pada Oktober 2023 dan berlarutan selama dua tahun, telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 yang lain - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza. - Bernama-Anadolu

 

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Hampir 90 peratus bangunan sekolah di Semenanjung Gaza rosak atau musnah sepanjang perang Israel
  • Sekolah yang belum musnah ditukar menjadi pusat perlindungan, mendorong pembelajaran sementara atau digital
  • UNRWA terus menyediakan sokongan pembelajaran meskipun infrastruktur pendidikan hancur
  • Dari awal gencatan senjata hingga kini, sekurang-kurangnya 591 Palestin terbunuh dan lebih 1,578 cedera
  • Perang dua tahun telah mengorbankan lebih 72,000 Palestin, mencederakan 171,000 lainnya, dan merosakkan 90 peratus infrastruktur awam di Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!