'Penyakit tidak menunggu tamatnya peperangan'

Beberapa pesakit buah pinggang menjalani rawatan dialisis di al-Shifa. Foto Agensi
Beberapa pesakit buah pinggang menjalani rawatan dialisis di al-Shifa. Foto Agensi
A
A
A

KETIKA saya menulis warkah ini, saya sedang dirawat untuk penyakit buah pinggang di Hospital al-Shifa di Bandar Gaza.

Sebenarnya, saya sendiri tidak pasti sama ada apa yang saya terima ini boleh benar-benar disebut sebagai 'rawatan' atau sekadar usaha untuk menangguhkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Para doktor terpaksa membuat keputusan berdasarkan apa yang boleh diakses dan berbanding apa yang diperlukan untuk perubatan dek kekurangan ubat-ubatan dan peralatan di wilayah ini. Saya merupakan salah satu kes sedemikian.

Saya dimaklumkan oleh doktor bahawa keadaan saya semakin teruk dan perlu dipindahkan segera dari Gaza untuk rawatan susulan.

Beliau akan membuat surat rujukan untuk memastikan saya berada dalam senarai pemindahan 22,000 pesakit Palestin.

Tubuh saya sekarang seperti hospital ini yang hanya berfungsi pada tahap minimum.

Sebelum perang meletus, hidup kami sudah pun sukar, tetapi sekurang-kurangnya kemudahan perubatan masih berfungsi buat penduduk Palestin.

Setiap kali ubat-ubatan atau ujian tidak tersedia di Gaza, saya masih boleh mendapatkan rawatan di Tebing Barat.

Pada 2023, Kementerian Kesihatan Palestin pernah membiayai kos perubatan saya di Hospital al-Khalil (Hebron) dan saya kembali semula ke Gaza, beberapa hari sebelum peperangan itu bermula.

Artikel Berkaitan:

Saeda Hamden (kiri) berharap dia berada dalam senarai pemindahan 22,000 pesakit dari Gaza. Foto Agensi
Saeda Hamden (kiri) berharap dia berada dalam senarai pemindahan 22,000 pesakit dari Gaza. Foto Agensi

Sepanjang tempoh lebih dua tahun lalu, tubuh saya juga menjadi satu lagi 'medan pertempuran' sama seperti penghidap penyakit kronik lain.

Kempen pengeboman berterusan Zionis ke atas wilayah ini telah meruntuhkan sistem kesihatan berikutan ramai kakitangan perubatan turut terkorban.

Pada fasa awal peperangan itu, Jabatan Nefrologi di al-Shifa yang menjadi tempat saya menerima rawatan selama bertahun-tahun binasa teruk.

Pihak berkuasa kesihatan cuba memulihkannya, namun ia terus dihujani bom. Hari ini, ia hampir tidak berfungsi selain kebanyakan peralatannya sudah musnah.

Kesihatan kian merosot

Pada Mei 2024, Israel bertindak menutup Lintasan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir selepas menguasai laluan penting tersebut.

Tiada lagi bekalan ubat-ubatan penting untuk penduduk Palestin dan pesakit buah pinggang seperti saya.

Hidup kami semakin sengsara selepas Zionis membedil sumber bekalan air bersih. Keadaan saya kian memburuk kerana terpaksa meminum air tercemar diambil dari telaga.

Kemerosotan ini berlaku secara perlahan, tetapi menyakitkan. Apabila saya tidak lagi dapat menjalani ujian rutin dan bekalan ubat preskripsi saya habis seluruh badan saya membengkak.

Pusat Hind al-Daghma yang bernaung di bawah Pusat Perubatan Nasser di Khan Yunis pernah menjadi talian hayat buat pesakit buah pinggang di Gaza. Foto Agensi
Pusat Hind al-Daghma yang bernaung di bawah Pusat Perubatan Nasser di Khan Yunis pernah menjadi talian hayat buat pesakit buah pinggang di Gaza. Foto Agensi

Saya juga tidak mampu bergerak dan mengalami keletihan melampau selain kehilangan berat 24 kilogram kerana kelaparan.

Penyakit tidak menunggu tamatnya peperangan. Buah pinggang tidak memahami politik pembukaan dan penutupan lintasan sempadan.

Tubuh manusia tidak mampu bertahan dengan air tercemar dan sekeping roti.

Apabila saya mendapat tahu bahawa Lintasan Rafah telah dibuka semula minggu lalu, saya merasakan ada sinar harapan buat saya.

Tetapi, saya berasa sedikit kecewa apabila mendapati hanya lima pesakit kritikal dipindahkan pada hari pertama.

Inilah kekejaman berganda yang dihadapi penduduk Palestin yang sakit. Kami dinafikan akses kepada rawatan perubatan.

Saya tidak tahu sama ada akan dapat keluar dari Gaza tepat pada masanya. Masa sentiasa menjadi prasyarat kepada harapan dan ia seperti tidak memihak kepada saya.

Anak saya, Zakaria, adalah sumber kekuatan yang membuatkan saya berjuang untuk terus hidup. Tetapi, sampai bila?

*Saeda Hamden, pesakit buah pinggang kronik di Gaza

 

 

Ringkasan AI

  • Penulis sedang dirawat untuk penyakit buah pinggang di Hospital al-Shifa, Bandar Gaza
  • Doktor menyarankan penulis dipindahkan segera dari Gaza untuk rawatan susulan
  • Keadaan kesihatan sistemik di Gaza merosot disebabkan perang dan kekurangan peralatan perubatan
  • Penutupan Lintasan Rafah oleh Israel menghalang bekalan ubat dan menyebabkan keadaan penulis semakin teruk
  • Sinar harapan penulis redup apabila hanya lima pesakit kritikal dipindahkan selepas pembukaan semula Lintasan Rafah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!