Kapal bantuan Umm Al Emarat belayar ke Semenanjung Gaza

Kapal 'Umm Al Emarat' membawa lebih 7,300 tan pelbagai bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza. Foto WAM
Kapal 'Umm Al Emarat' membawa lebih 7,300 tan pelbagai bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza. Foto WAM
A
A
A

ABU DHABI - Kapal bantuan 'Umm Al Emarat' telah memulakan pelayaran ke Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan dan bantuan berterusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyokong rakyat Palestin, bersempena dengan ketibaan bulan suci Ramadan, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada rangka kerja kemanusiaan UAE yang bertujuan untuk meringankan penderitaan orang awam dan memenuhi keperluan asas di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang mencabar.

Sebanyak 16 organisasi amal dan kemanusiaan dari seluruh wilayah UAE menyumbang kepada penyediaan kargo kapal itu yang membawa lebih 7,300 tan pelbagai bekalan bantuan.

Ia merangkumi barangan makanan, bahan perlindungan dan bekalan perubatan bagi membantu menyokong keterjaminan makanan serta memperkukuh tindak balas segera kemanusiaan terhadap keperluan keluarga yang terjejas di Semenanjung Gaza.

Bantuan makanan termasuk bungkusan makanan, bekalan untuk menyokong dapur komuniti dan buah kurma, manakala bantuan perlindungan terdiri daripada pakaian hari raya, kit bantuan, khemah serta keperluan asas isi rumah, yang kesemuanya bertujuan untuk menggalakkan keadaan hidup yang bermaruah bagi keluarga yang terjejas.

Kapal bantuan 'Umm Al Emarat', iaitu kapal ke-13 yang dihantar oleh UAE ke Semenanjung Gaza, merupakan sebahagian daripada jambatan kemanusiaan maritim yang berterusan untuk menyokong rakyat Palestin dan mencerminkan usaha berterusan UAE dalam menangani keperluan kemanusiaan dalam tempoh kritikal ini.

Dari aspek perubatan, kapal itu membawa pelbagai peralatan dan bekalan perubatan termasuk alat bantuan pernafasan, meja dan katil perubatan, kerusi perubatan, pelitup muka pelindung serta peranti penulenan udara bagi menyokong sektor penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti kemudahan perubatan untuk bertindak balas terhadap keperluan mendesak dalam keadaan kesihatan yang sukar. - Bernama-WAM

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Kapal bantuan 'Umm Al Emarat' telah berlayar ke Semenanjung Gaza sebagai usaha kemanusiaan UAE untuk menyokong rakyat Palestin menjelang Ramadan
  • Inisiatif ini merupakan bagian dari kerangka kerja kemanusiaan UAE untuk meringankan penderitaan dan memenuhi keperluan asas di tengah keadaan kemanusiaan yang mencabar
  • Sejumlah 16 organisasi amal dan kemanusiaan dari UAE menyumbang lebih dari 7,300 tan bekalan termasuk makanan, perlindungan, dan bekalan perubatan
  • Bantuan tersebut bertujuan untuk meningkatkan keterjaminan makanan dan memperkukuh tindakan kemanusiaan terhadap keluarga yang terjejas di Semenanjung Gaza
  • Kapal ini membawa pelbagai bekalan perubatan untuk menyokong sektor penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti fasilitas medis di Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!