Kategori barangan SARA diperluas kepada makanan sejuk beku, bilangan kedai runcit dipertingkat

PUTRAJAYA - Kategori barangan keperluan asas di bawah iniasiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua diperluaskan kepada makanan sejuk beku, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di samping itu beliau berkata, bilangan kedai runcit kecil dalam pelaksanaan inistiatif itu juga ditingkatkan kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini dengan jarak capaian kedai dikurangkan dalam lingkungan tujuh kilometer (km) berbanding 10km pada masa ini.
Ini kerana katanya, ramai yang membangkitkan supaya kategori barangan sedia ada diperluaskan.
“Jadi, sukacita diumumkan kerajaan bersetuju meluaskan kategori barangan SARA merangkumi makanan sejuk beku,” katanya di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini pada Isnin.
Anwar bekata, seramai 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menerima RM100 melalui MyKad bermula 9 Februari hingga Disember ini.
"Bayangkan 22 juta rakyat dapat, ini peringkat kedua SARA Untuk Semua. Jumlahnya bukan kecil tetapi saya nak meringankan sebab kita tahu Tahun Baharu Cina nak datang, bulan puasa bulan Ramadan, kita mahu santuni semua. Kalau campur kesan perbelanjaan SARA dan STR (Sumbangan Tunai Rahmah), jumlahnya RM15 bilion. Itu bukan kecil,” jelas Anwar.
TAMAT
Ringkasan AI
- Kategori barangan keperluan asas di bawah inisiatif SARA Untuk Semua diperluaskan kepada makanan sejuk beku
- Bilangan kedai runcit kecil dalam pelaksanaan inisiatif itu ditingkatkan kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini
- Jarak capaian kedai dikurangkan kepada tujuh kilometer
- Seramai 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menerima RM100 melalui MyKad
- Jumlah keseluruhan SARA dan STR mencapai RM15 bilion
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

