'Asyik-asyik alasan beli makanan'

A Asmadi memeriksa surat kebenaran seorang pemandu lori ketika meninjau operasi sekatan jalan raya di Jalan Kuala Kangsar hari ini.
A Asmadi memeriksa surat kebenaran seorang pemandu lori ketika meninjau operasi sekatan jalan raya di Jalan Kuala Kangsar hari ini.
A
A
A

IPOH - Keluar membeli dan membungkus makanan antara alasan yang kerap diterima pasukan keselamatan sepanjang 14 hari pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ipoh bermula 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, alasan itu bukan sahaja digunakan penduduk sekitar untuk meninggalkan rumah malah terdapat segelintir masyarakat dari luar memberikan alasan sama untuk masuk ke bandar raya berkenaan.

"Ramai beri alasan begitu kerana sebelum ini kita benarkan tetapi apabila semakan dibuat, ramai pula dari luar yang membeli makanan di sini.

"Walaupun ada arahan mengatakan kebenaran diberi untuk beli dan bungkus makanan, tapi takkanlah semuanya kena beli di pekan Ipoh ini," katanya.

A Asmadi
A Asmadi

Menurutnya, orang ramai sepatutnya meminimumkan pergerakan sebaik mungkin dengan hanya berurusan di kawasan sekitar tempat tinggal sahaja.

"Kita tidak mahu ada lagi alasan-alasan tak masuk akal seperti ini, mereka yang tinggal di Bercham sepatutnya boleh beli makanan di situ tanpa perlu datang ke pekan Ipoh, begitu juga kawasan-kawasan lain, kita akan lebih bertegas dalam perkara ini selepas ini," katanya selepas meninjau operasi sekatan jalan raya di Jalan Kuala Kangsar di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi fasa kedua PKP yang bermula hari ini, pihaknya akan memperketatkan kawalan pematuhan di kawasan taman perumahan dan kampung dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan tangkapan kes sebelum ini, didapati masih ada penduduk di kawasan itu ingkar dengan berkumpul untuk beriadah dan mandi di air terjun kerana menyangka tiada kehadiran polis.

"Pasukan-pasukan kita akan masuk ke taman dan kampung yang dirasakan perlu kepada pematuhan untuk memberi mesej jelas bahawa PKP ini bukan dongeng.

"Tindakan akan terus diambil agar tidak ada lagi pihak berdegil atau sengaja mencabar undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya.

A Asmadi ketika meninjau operasi sekatan jalan raya di Jalan Kuala Kangsar hari ini.
A Asmadi ketika meninjau operasi sekatan jalan raya di Jalan Kuala Kangsar hari ini.

Dalam perkembangan sama, A Asmadi berkata, setakat semalam, sebanyak 30 kes tangkapan direkodkan berkaitan kesalahan ingkar PKP melibatkan 79 induvidu termasuk tujuh warga asing.

Menurutnya, seramai 46,383 individu dan 421,212 kenderaan pula telah diperiksa dalam tempoh sama menerusi sekatan jalan raya yang dijalankan di seluruh daerah.

"Bermula hari ini, tiga sekatan jalan raya akan dijalankan secara 24 jam dan pemeriksaan mengejut juga dilakukan di lokasi-lokasi terpilih yang memerlukan kepada pematuhan lebih tinggi.

"Kita mengambil tanggungjawab ini dengan penguatkuasaan lebih tegas bagi memastikan keselamatan semua pihak," katanya.

Sehingga semalam, Perak merekodkan 189 kes positif Covid-19 dan Kinta merupakan daerah tertinggi dengan 77 kes.