Diplomasi durian satukan Perak Tengah–Selatan Thai

Nordin menyampaikan senaskhah buku Pulau Tiga kepada Kanokrat dalam kunjungan delegasi Thailand sempena Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 baru-baru ini.
Nordin menyampaikan senaskhah buku Pulau Tiga kepada Kanokrat dalam kunjungan delegasi Thailand sempena Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 baru-baru ini.
A
A
A

IPOH - Siapa sangka raja buah yang cukup popular bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau ASEAN mampu menyatukan rakyat dua negara.

Itulah yang berlaku sempena Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 yang menerima kunjungan delegasi dari Thailand seramai 20 orang, diketuai Penolong Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SPBAC), Kanokrat Phongthunyawiriya baru-baru ini.

Festival berkenaan bukan sekadar pesta buah-buahan, sebaliknya menjadi jambatan diplomasi rakyat antara daerah Perak Tengah dan wilayah selatan Thailand menerusi semangat kerjasama, pelancongan serta pembangunan sosioekonomi serantau.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, festival yang dianjurkan bersama Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) itu berjaya mencapai sasaran sebagai platform memperkenalkan potensi durian Kampung Gajah ke peringkat antarabangsa.

“Durian bukan hanya simbol hasil pertanian, tetapi buah yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai negara. Kerjasama dengan pihak Thailand, khususnya SPBAC, membuktikan wujudnya kesepakatan dalam membawa mesej keamanan dan kemakmuran bersama.

“Saya melihat festival ini sebagai jambatan bukan sahaja untuk menyatukan masyarakat dunia, tetapi juga dapat meneroka banyak peluang sosioekonomi di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Mesyuarat Kerjasama Strategik di antara Persatuan Pembangunan Komuniti Perak dan IGROW bersama SPBAC turut diadakan sempena festival berkenaan.
Mesyuarat Kerjasama Strategik di antara Persatuan Pembangunan Komuniti Perak dan IGROW bersama SPBAC turut diadakan sempena festival berkenaan.

Nordin berkata, hubungan yang terjalin itu turut melibatkan agensi media dan pelbagai institusi dari kedua-dua negara, sekali gus membuka ruang perkongsian kepakaran dalam bidang pertanian, keusahawanan dan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejayaan festival tersebut tidak terhad kepada aspek jualan durian semata-mata, tetapi turut mencetuskan kesedaran baharu terhadap potensi industri hiliran seperti pembangunan produk industri kecil dan sederhana (IKS), pelancongan, pendidikan serta pembasmian kemiskinan.

“Kita menerima kunjungan pelancong dan peminat durian dari pelbagai negara. Ini menunjukkan durian Kampung Gajah berpotensi untuk dijenamakan sebagai produk antarabangsa.

“Durian juga sebenarnya boleh dijadikan sebagai alat yang mampu menyatukan banyak pihak, sama ada dalam Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas cabaran penganjuran festival, Nordin mengakui pihaknya berdepan kekangan sokongan daripada beberapa agensi kerajaan di peringkat tempatan, namun kejayaan program tetap dicapai hasil semangat dan kerjasama masyarakat setempat.

“Kami bergerak secara sukarela, digerakkan oleh NGO dan anak-anak tempatan. Sepatutnya agensi kerajaan menjadi pemudah cara, bukan penghalang.

“Kejayaan sebenar dasar kerajaan bergantung kepada keterlibatan komuniti sebagai pemain utama,” katanya yang juga Pengerusi Eksekutif IGROW.

Beliau berkata, faktor kejayaan festival itu turut berpunca daripada kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memajukan ekonomi setempat serta penglibatan aktif beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pendidikan Negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memastikan kelancaran program.

Jelas beliau, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negeri, terutama Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin atas sokongan yang diberikan.

Selain itu, pengalaman IGROW dalam menguruskan program bertaraf antarabangsa turut membantu menjayakan festival yang dianggap antara acara paling berimpak besar di Perak Tengah.

Susulan kejayaan festival berkenaan, Nordin berkata, beberapa inisiatif lanjutan akan dilaksanakan bagi memastikan manfaatnya berterusan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, pada masa sama, pihak persatuan juga akan memperkukuh kerjasama dengan Thailand, Singapura dan Indonesia dalam bidang pelancongan, latihan kemahiran, pemasaran produk halal dan pembasmian kemiskinan.

Jelas beliau, kerjasama dengan SPBAC turut membuka ruang baharu dalam pelancongan pendidikan Islam apabila institusi tahfiz di Gerik menerima kunjungan wakil selatan Thailand yang berminat membawa pelajar pondok ke Malaysia bagi mengikuti program ‘belajar sambil melancong’.

Nordin menegaskan, Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 telah mencapai matlamatnya bukan sahaja dalam memperkasa industri durian, tetapi turut membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomasi komuniti, pembangunan ekonomi dan pelancongan antara Perak Tengah dan negara jiran.

Ringkasan AI

  • Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 menyatukan rakyat Malaysia dan Thailand
  • Menjadi platform diplomasi rakyat dan mempromosi potensi durian Kampung Gajah di peringkat antarabangsa
  • Merangkumi kerjasama dalam pertanian, keusahawanan dan pelancongan antara kedua negara
  • Mencetuskan kesedaran tentang industri hiliran, peluang pekerjaan dan pembasmian kemiskinan
  • Memperkuatkan hubungan dan membuka peluang baru dalam pelancongan pendidikan Islam antara Malaysia dan Thailand

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!