'Deal yang tidak menjadi' - Rafizi dedah pernah dihubungi individu konon wakil Albert Tei

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan pernah dihubungi individu yang kononnya mewakili ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, namun beliau tidak berminat untuk meneruskan sebarang perbincangan.
Jelasnya, perkara itu dilihatnya sebagai satu lagi contoh biasa dalam politik Malaysia.
"Saya ditanya oleh Haziq dalam Podcast Yang Bakar Menteri (YBM) episod 24 sama ada Albert Tei pernah cuba jumpa saya.
"Jawapan mudah, ya. Ada orang tengah datang sampaikan mesej kononnya mewakili Albert, tetapi saya memang tak berminat dari awal sebab saya nampak ini cuma satu lagi contoh biasa dalam politik Malaysia.
"Ada yang bayar, ada yang terima dan semua orang pura-pura terkejut bila terbongkar," katanya dalam perkongsian di Facebook pada Khamis.
Menurut Rafizi, baginya perkara berkenaan hanya 'deal yang tak menjadi' bukan cerita hero melawan penjahat.
"Albert tetap pemberi rasuah, yang lain pula penerima rasuah. Bezanya, penerima ini ialah orang yang pegang jawatan awam dan dapat mandat rakyat.
"Jadi merekalah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan terlebih dahulu.
"Rakyat pun tak akan boleh terima kalau akhirnya 'broker' saja yang dihukum tapi orang yang ambil duit terlepas begitu saja," katanya.
Susulan itu katanya, beliau tidak setuju apabila ada pihak yang cuba mengangkat Albert Tei sebagai 'whistleblower hero'.
"Whistleblower sebenar ialah orang dalam sistem yang dedahkan salah laku tanpa apa-apa kepentingan, sanggup ambil risiko atas dasar prinsip, bukan broker yang tersepit sebab duit 'tauke' sudah bergerak," katanya yang turut memaklumkan kupasan isu terkini akan dikongsikan dalam podcast sama pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
