Maruah Angkatan bukan untuk dihina

SEJAK kebelakangan ini, setiap kali timbul dakwaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai tentera, kita menyaksikan satu fenomena yang semakin membimbangkan kemarahan yang bertukar menjadi penghinaan terbuka terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kata-kata keras dilontarkan tanpa tapisan. Uniform yang selama ini dihormati tiba-tiba dipandang sinis, seolah-olah seluruh angkatan telah hilang kehormatan.
Persoalannya, sejak bila kita menjadi bangsa yang begitu mudah meruntuhkan maruah pasukan yang selama ini mempertahankan kedaulatan kita?
Tegaskan satu perkara tanpa ragu, jika ada anggota yang mengkhianati amanah, mereka wajib diheret ke muka pengadilan. Pangkat tidak boleh menjadi perisai. Jawatan tidak boleh menjadi pelindung.
Dalam soal integriti, tentera tidak boleh meminta layanan istimewa. Sebaliknya, menghukum keseluruhan ATM kerana dosa segelintir adalah satu kezaliman moral yang tidak boleh dinormalisasikan.
ATM bukan dibina dalam sehari. Ia ditempa dengan darah, keringat dan air mata generasi prajurit yang sebahagiannya tidak pernah pulang dengan sempurna, ada yang kembali dengan parut, ada yang kembali dengan keranda berbalut Jalur Gemilang.
Mereka tidak pernah bertanya sama ada negara menghargai mereka atau tidak. Mereka hanya tahu satu perkara: apabila tanah air memanggil, mereka bergegar datang.
Dan hari ini, maruah yang mereka pertahankan itu sedang kita lukai dengan lidah kita sendiri.
Benar, rakyat berhak marah malah rakyat mesti marah jika amanah dikhianati. Tentera bukan institusi biasa, ia adalah benteng terakhir negara. Apabila benteng ini kelihatan retak walau sedikit kegusaran itu wajar.
Namun kemarahan tanpa batas boleh bertukar menjadi racun yang lebih berbahaya daripada kesalahan itu sendiri.
Apa yang ramai tidak faham, ekosistem pertahanan bukan bergerak dalam ruang tunggal. Urusan kewangan, perolehan dan kelulusan melibatkan pelbagai lapisan kawal selia, dasar kerajaan, proses tender, audit serta mekanisme semak imbang yang kompleks, tetapi dalam era persepsi pantas, penjelasan teknikal sering tenggelam lalu institusi menjadi kambing hitam paling mudah. Lebih membimbangkan ialah kesan jangka panjangnya.
Apabila tentera dihina secara kolektif yang terhakis bukan sekadar reputasi tetapi semangat juang mereka yang masih setia berkhidmat.
Bayangkan seorang anggota muda yang berjaga di pos sempadan, membaca bahawa tenteranya dianggap tidak bermaruah.
Bayangkan seorang isteri yang menahan rindu, melihat masyarakat memandang rendah pengorbanan suaminya. Luka seperti ini tidak berdarah tetapi mampu melemahkan jiwa sebuah angkatan.
Sejarah menunjukkan bahawa banyak angkatan tentera tidak rebah kerana serangan musuh tetapi kerana kepercayaan bangsanya sendiri perlahan-lahan runtuh.
Sebuah negara tidak menjadi kuat hanya dengan senjata canggih, ia menjadi kuat apabila rakyat percaya kepada mereka yang berdiri di barisan hadapan.
Namun dalam hal ini, ATM juga tidak boleh memilih untuk berdiam diri atau berselindung di sebalik formaliti. Institusi yang benar-benar gagah tidak takut kepada ketelusan. Jika ada pengkhianat, singkirkan tanpa gentar.
Jika ada kelemahan, perbetulkan tanpa berlengah. Ketahuilah tindakan tegas tidak akan menjatuhkan ATM. Sebaliknya, itulah yang akan mengangkatnya kembali.
Krisis seperti ini sebenarnya adalah ujian kepimpinan. Ia menuntut keberanian moral bukan sekadar untuk menghukum yang bersalah tetapi untuk membuktikan bahawa kehormatan uniform lebih tinggi daripada mana-mana individu.
Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu bermuhasabah. Kritiklah dengan keberanian tetapi jangan menghina dengan sewenang- wenangnya.
Jangan kerana mahu menghukum beberapa orang, kita tanpa sedar merobohkan benteng yang menjaga negara.
Ingatlah ATM bukan milik pegawai tertentu. ATM adalah milik Malaysia.
Jika maruah tentera runtuh, jangan kita lupa bahawa yang akan berdiri di antara kita dan ancaman bukanlah suara sumbang di media sosial tetapi prajurit yang sama kita ragui hari ini.
Justeru, janganlah kita menjadi bangsa yang terlalu cepat menghukum sehingga lupa menghargai pengorbanan kerana sebuah tentera tidak akan hancur hanya kerana pengkhianat di dalam nya tetapi ia boleh menjadi rapuh apabila bangsanya sendiri berhenti mempercayainya.
Selagi masih ada prajurit yang sanggup bersumpah, "Biar putih tulang, jangan putih mata," selagi itu maruah Angkatan Tentera Malaysia tidak akan rebah.
Jangan sentuh maruah mereka kerana di situlah sebenarnya berdirinya maruah negara.
*Mej Azman Ab Karim (Bersara)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
