Ronald digesa letak jawatan, gagal sebagai Naib Presiden Bersatu - Tun Faisal

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ronald Kiandee digesa meletakkan jawatan susulan kegagalannya mengetuai Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kegagalan itu yang didakwa menjadi punca utama pencapaian buruk calon-calon Bersatu Sabah dalam PRN lalu.
Menurutnya, Ronald gagal membentangkan perancangan strategik dan memulakan gerak kerja PRU lebih awal, malah sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang laporan pasca pilihan raya (post-mortem) secara bertulis.
"Lebih memburukkan keadaan, Setiausaha BPN Sabah, Yunus Nurdin yang merupakan lantikan Ronald, bersama beberapa pemimpin Bersatu Sabah cuba mengalihkan kesalahan tersebut kepada Presiden parti.
"Tuduhan ini adalah tidak berasas kerana sejak awal lagi, autonomi dan autoriti penuh untuk mempersiapkan jentera Sabah telah diberikan di bawah Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta Ronald sendiri selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sabah, tanpa sebarang campur tangan daripada Presiden parti," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Ronald menggesa supaya Muhyiddin Yasin berundur daripada jawatannya sebagai presiden bagi membina semula kekuatan parti.
Ronald berkata, ia kerana bekas Perdana Menteri itu didakwa gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.
Tambah Tun Faisal, dakwaan bahawa tindakan Lembaga Disiplin merupakan penyalahgunaan prosedur bagi membungkam suara pimpinan utama parti adalah tidak benar sama sekali.
Jelas beliau, sebaliknya ramai berpendapat tindakan Lembaga Disiplin sepatutnya telah lama diambil terhadap individu-individu yang secara berterusan dan berulang kali melanggar perlembagaan, menentang keputusan parti, serta mencabar kewibawaan institusi parti.
"Lembaga Disiplin diperuntukkan kuasa oleh Perlembagaan Bersatu untuk mengambil tindakan mengukuhkan disiplin pemimpin dan ahli-ahli parti.
"Ramai yang berpandangan jika Lembaga Disiplin mengambil tindakan tegas sejak awak lagi, sudah tentu Geng SD tidak akan sewenang-wenangnya melanggar perlembagaan dan keputusan-keputusan parti berulang kali," ulasnya.
Beliau berpendapat, sebagai Naib Presiden parti, Ronald sepatutnya berperanan menghalang pemimpin-pemimpin Bersatu negeri Sabah serta penyokong-penyokong Hamzah daripada terus melanggar perlembagaan, disiplin dan keputusan parti.
Bagaimanapun katanya, perkara tersebut tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.
"Ironinya, Ronald kini tampil bukan untuk mempertahankan perlembagaan dan keputusan parti tetapi untuk mempertahankan mereka yang berulang kali melanggar perlembagaan dan menentang keputusan parti.
Ringkasan AI
- Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Ronald Kiandee, digesa meletakkan jawatan kerana gagal mengetuai BPN Sabah dalam PRN
- Kegagalan Ronald menjadi punca utama pencapaian buruk calon Bersatu Sabah dalam PRN
- Ronald gagal membentangkan perancangan strategik dan memulakan gerak kerja PRU lebih awal tanpa mengemukakan sebarang laporan post-mortem
- Dakwaan memburukkan situasi dengan menyalahkan Presiden parti atas kegagalan di Sabah ketika autonomi dan autoriti diberikan kepada Ronald
- Lembaga Disiplin Bersatu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan disiplin dan tindakan dianggap perlu untuk menjaga integriti parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

