Semua Exco FAM letak jawatan serta-merta

Semua Exco FAM mengambil keputusan meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta pada Rabu. Foto hiasan
Semua Exco FAM mengambil keputusan meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta pada Rabu. Foto hiasan
A
A
A

KESEMUA Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa sebarang kepentingan peribadi, selain bertujuan melindungi integriti badan induk bola sepak negara itu.

Menurutnya, langkah berhemah dan berprinsip itu diambil susulan situasi terkini yang telah menarik perhatian umum, selain menegakkan prinsip tadbir urus yang baik serta akauntabiliti.

"Jawatankuasa Eksekutif mengambil tanggungjawab bersama untuk bertindak melindungi integriti FAM.

"Peletakan jawatan ini bertujuan menjaga reputasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia, selain menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk bebas menilai serta meneliti perkara berkaitan tadbir urus FAM," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas Kali Kelima Bagi Penggal 2025-2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff menegaskan bahawa langkah itu penting bagi memastikan sebarang pembaharuan dapat dilaksanakan tanpa gangguan persepsi, sekali gus memulihkan keyakinan penyokong, rakan kongsi dan komuniti bola sepak.

Jelasnya, walaupun barisan Exco bagi penggal 2025-2029 baru memegang mandat selama 11 bulan daripada tempoh empat tahun yang ditetapkan, mereka rela melepaskan jawatan tersebut demi kepentingan nasional.

"Ini menunjukkan bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia lebih utama berbanding tempoh jawatan.

Artikel Berkaitan:

"Mengekalkan kredibiliti institusi adalah penting bagi kestabilan, kelestarian dan pembangunan masa depan bola sepak negara," ujarnya.

Biarpun tidak lagi memegang jawatan, beliau memberi jaminan bahawa Jawatankuasa Eksekutif akan tetap memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC dan pihak berkepentingan.

Krisis dalaman FAM bermula pada September tahun lalu selepas FIFA mengesahkan badan induk itu dan tujuh pemain naturalisasi didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Tujuh pemain tersebut ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Siasatan mendapati FAM mengemukakan dokumen yang dipercayai dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit, yang membolehkan mereka beraksi ketika kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Bukit Jalil, Jun lalu.

Susulan kesalahan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

FAM kini sedang menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum ini menolak rayuan yang dikemukakan.

Ringkasan AI

  • KESEMUA Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela
  • Langkah ini diambil untuk melindungi integriti dan menjaga reputasi FAM
  • Peletakan jawatan bertujuan mengurangkan risiko yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia dan membolehkan FIFA dan AFC menilai tadbir urus FAM
  • Langkah peletakan jawatan ini diambil selepas FAM didapati melanggar Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemain naturalisasi
  • FAM diarahkan membayar denda dan kini sedang menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!