Timor-Leste sertai ASEAN: Detik bersejarah bagi Asia Tenggara

PENYERTAAN rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN pada Ahad menandakan satu detik bersejarah bukan sahaja bagi negara muda itu, tetapi juga bagi rantau Asia Tenggara secara keseluruhan.
Penyertaan itu dimeterai dengan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, disaksikan oleh pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Gusmão menyifatkan penyertaan negara itu ke dalam ASEAN sebagai impian yang direalisasikan dan penegasan kukuh tentang perjalanan rakyatnya yang ditempuhi dengan ketabahan, keazaman dan harapan.
Berucap pada majlis menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini pada Ahad, Gusmão berkata, pencapaian itu juga mengesahkan visi ASEAN tentang sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu yang terikat dengan nilai dan aspirasi bersama serta masa depan yang dibina secara kolektif.
Langkah ini menutup satu episod panjang selama lebih sedekad sejak Timor-Leste memohon keanggotaan pada 2011, dan menjadi bukti kepada keupayaan ASEAN mengekalkan dasar pintunya yang terbuka, berpaksikan prinsip solidariti serantau dan keterangkuman.
Dari perspektif Timor-Leste, penyertaan ini merupakan pengiktirafan kepada usaha berterusan negara itu dalam memperkukuh kestabilan politik, membangunkan institusi pentadbiran yang berdaya saing, serta menyesuaikan dasar nasional dengan piawaian serantau.
Keanggotaan dalam ASEAN membuka ruang baharu bagi Timor-Leste untuk memperluas hubungan perdagangan, pelaburan, dan kerjasama pembangunan dengan negara-negara jiran yang lebih maju.
Melalui penyertaan dalam rangka kerja ekonomi ASEAN, termasuk Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Timor-Leste berpotensi mempercepatkan pertumbuhan ekonominya melalui integrasi pasaran, peningkatan pelaburan langsung asing dan pemindahan teknologi.
Dari sudut geopolitik, kemasukan Timor-Leste memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai satu blok serantau yang benar-benar mewakili keseluruhan Asia Tenggara.
Ia menegaskan komitmen ASEAN terhadap prinsip kesatuan dan keseimbangan, terutamanya dalam konteks persaingan kuasa besar yang semakin ketara di rantau Indo-Pasifik.
Penyertaan ini juga membuka peluang bagi ASEAN memperluas jaringan diplomatik dan memperkukuh suara kolektifnya dalam platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Forum Serantau ASEAN (ARF).
Kesimpulannya, penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN bukan sekadar perluasan bilangan anggota, tetapi lambang kematangan blok ini dalam melaksanakan visi ‘Satu Komuniti, Satu Identiti, Satu Visi’.
Kejayaan ini turut mencerminkan peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, yang berjaya memimpin proses penyatupaduan tersebut dengan diplomasi yang inklusif dan berpandangan jauh.
Kepimpinan Malaysia dalam memastikan kemasukan Timor-Leste menjadi realiti memperkukuh imej ASEAN sebagai entiti yang berpegang teguh pada prinsip perpaduan, kemajuan bersama dan kesejahteraan serantau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

