Jana pendapatan lumayan

BERMULA dengan hanya 200 polibeg di tepi rumah, seorang bapa kepada tiga anak kini berjaya membina perniagaan pertanian berskala komersial dengan menjana pendapatan hampir setengah juta setahun menerusi tanaman timun secara fertigasi.
Mohamad Khairul Mohamad Amin, 39, yang menetap di Kampung Sungai Sireh di Kuala Selangor berkata, dia mengusahakan kawasan seluas 2.8 hektar melibatkan tanaman timun dengan menempatkan sebanyak 18,200 polibeg secara keseluruhannya.
Menurutnya, setiap tanaman timun mempunyai jangka hayat sekitar 60 hari semusim dengan hasil tuaian bagi 0.4 hektar mampu mencecah antara 15 hingga 20 tan bergantung kepada keadaan cuaca dan pengurusan ladang.
"Saya tanam timun secara konsisten supaya aliran pendapatan lebih stabil dan tidak bergantung kepada satu musim sahaja," katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang.
Mohamad Khairul berkata, hasil tanaman dipasarkan melalui Program Ladang Kontrak (LK) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan harga semasa sekitar RM1 sekilogram.
Menurutnya, penyertaan dalam LK memberi keyakinan untuk mengembangkan perniagaan apabila pendapatan meningkat kira-kira 30 peratus berikutan jaminan pembelian hasil serta harga lantai yang ditetapkan.
"Masalah utama petani ialah takut apabila ada bekalan, tetapi tak ada pembeli. Namun bila ada ladang kontrak, kita lebih yakin untuk tanam lebih banyak sebab FAMA jadi jaminan pemasaran,” katanya.
Menurut Mohamad Khairul, hasil kasar perniagaannya meningkat secara konsisten sejak empat tahun lalu daripada sekitar RM400,000 setahun kepada kira-kira RM480,000 tahun lalu, selain didorong oleh harga LK yang lebih baik serta peningkatan kuantiti pengeluaran hasil.
Mohamad Khairul berkata, penggunaan teknologi turut membantu meningkatkan kualiti hasil apabila sistem fertigasi polibeg diubah daripada kaedah di atas tanah kepada sistem gantung bagi mengelakkan banjir dan masalah rumpai.
Selain itu, penggunaan sistem pengairan Netafim dan teknologi Internet of Things (IoT) membolehkan kawalan pam air dan sukatan baja dipantau melalui telefon pintar.
Pemegang sijil MyGAP itu berkata, pensijilan yang diperoleh amat penting bagi memastikan pematuhan amalan pertanian baik khususnya dari segi penggunaan racun yang selamat dan pengendalian lepas tuai.
"MyGAP bukan sekadar sijil, tapi satu pengiktirafan yang membuka peluang pasaran lebih premium dan harga lebih tinggi,” katanya.

Bekas kakitangan Jabatan Veterinar Negeri Selangor itu berkata, antara cabaran utama industri pertanian ialah kekurangan tenaga kerja tempatan.
Bagaimanapun, ujarnya, dia mengambil pendekatan melatih pelajar kolej komuniti dan politeknik sebagai pelapis, selain menjadikan pekerja berpotensi sebagai rakan niaga.
"Pertanian bukan sekadar menggajikan orang, tapi mendidik dan membina masa depan bersama.
"Kalau sistem dan pemasaran betul, pertanian sebenarnya satu perniagaan yang sangat menguntungkan,” katanya yang turut merancang untuk meneroka pasaran eksport pada masa depan.
Ladang kontrak tingkat pendapatan petani
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Faisal Iswardi Ismail berkata, LK yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terbukti membantu meningkatkan pendapatan petani selain menjamin pasaran hasil tanaman.
Katanya, antara kelebihan utama program itu ialah jaminan pasaran menerusi pelaksanaan perjanjian jual beli hadapan antara petani dan FAMA.
Menurutnya, melalui program itu, peserta LK boleh memilih tahap jaminan pasaran sama ada sehingga 100 peratus pembelian oleh FAMA atau mengikut peratusan dipersetujui sekali gus mengurangkan risiko kesukaran pemasaran hasil.
"Bagi petani baharu, isu pemasaran sering menjadi cabaran utama, namun dengan adanya LK, FAMA memberi jaminan pasaran supaya mereka boleh fokus kepada pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut memberi manfaat kepada petani sedia ada yang ingin menambah keluasan tanaman apabila lebihan hasil boleh disalurkan melalui LK.
Selain itu, Faisal Iswardi berkata, peserta LK yang menandatangani 'forward agreement' turut layak menerima insentif harga lantai, khususnya ketika harga komoditi jatuh di peringkat ladang.
"Sebagai contoh bagi timun, jika harga pasaran semasa jatuh hingga 30 sen sekilogram, FAMA akan membeli pada harga siling atau harga lantai yang ditetapkan bagi mengelakkan petani mengalami kerugian sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, mekanisme itu membolehkan petani meneruskan pusingan tanaman seterusnya tanpa terjejas teruk akibat kejatuhan harga.
Mengulas kriteria kejayaan peserta LK, beliau berkata, peningkatan pendapatan antara 10 hingga 30 peratus menjadi petunjuk utama, selain pematuhan pensijilan seperti MyGAP, penglibatan dalam penjenamaan Malaysia Best serta peranan petani sebagai rujukan atau tenaga pengajar kepada pengusaha lain.
"FAMA juga melihat keupayaan petani memperluaskan pasaran termasuk pembekalan kepada ejen pengeksport sebagai satu nilai tambah,” katanya.

Dalam usaha menstabilkan harga hasil pertanian ketika kos input meningkat, Faisal Iswardi berkata, FAMA menyediakan pakej pemasaran lengkap termasuk logistik, pembungkusan dan pengangkutan, selain pembelian terus di ladang bagi peserta berdaftar.
Sementara itu, beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), FAMA memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian bekalan menyeluruh daripada peringkat ladang hingga pengguna termasuk pembinaan pusat pengumpulan ladang (PPL), pusat pemborongan dan pengedaran serta peluasan rangkaian outlet.
"Sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 1,550 outlet FAMA beroperasi di seluruh negara bagi memudahkan pengeluar memasarkan hasil,” katanya.
Beliau turut menjelaskan penggunaan teknologi digital melalui sistem Surveillance and Intervention Supply Demand Agrofood (SISDA) bagi menyediakan unjuran harga dan permintaan pasaran sebagai panduan kepada petani dalam merancang tanaman.
Katanya, penggunaan platform digital dan e-dagang seperti Agrobazar Online serta kerjasama strategik dengan pihak swasta dilihat mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor pertanian.
"Penglibatan belia amat penting kerana statistik menunjukkan hampir 45 peratus pengusaha pertanian kini berusia 60 tahun ke atas.
"Kita mahu lebih ramai golongan muda terlibat bagi menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata, program LK dan projek rantaian bekalan itu diharap dapat meningkatkan pengeluaran domestik.
"Apabila bekalan hasil pertanian dapat dipertingkatkan, ia secara langsung membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada import yang ketika ini menunjukkan trend peningkatan,” tambah beliau.
Ringkasan AI
- Mohamad Khairul Mohamad Amin berjaya mengusahakan pertanian komersial timun dengan pendapatan hampir setengah juta setahun
- Dia mengusahakan tanaman timun di atas kawasan seluas 2.8 hektar dengan 18,200 polibeg
- Pendapatan meningkat kira-kira 30 peratus melalui penyertaan dalam Program Ladang Kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
- Penggunaan teknologi seperti sistem fertigasi polibeg, pengairan Netafim dan IoT membantu meningkatkan kualiti hasil
- Program Ladang Kontrak FAMA meningkatkan pendapatan petani dan menjamin pasaran hasil tanaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

