Bekas jurutera mengaku salah guna wang palsu, cuba curi gelang emas RM29,000

Ahmad Faisal (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Isnin atas dua pertuduhan menggunakan wang palsu dan cubaan mencuri barang kemas pada Disember tahun lalu.
Ahmad Faisal (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Isnin atas dua pertuduhan menggunakan wang palsu dan cubaan mencuri barang kemas pada Disember tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas jurutera mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan cuba menggunakan wang palsu bagi mendapatkan barang kemas di sebuah kedai emas pada Disember lalu.

Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menggunakan 359 keping wang kertas RM50 palsu sebagai wang tulen di Kedai Emas Lelong Maya, Chabang Tiga, di sini, kira-kira jam 3.10 petang pada 18 Disember tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda, manakala Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu setengah daripada tempoh maksimum kesalahan asal.

Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan bagi pertuduhan tersebut dan menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes dan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ummi Sharmimi Harun.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan mencuri seutas gelang emas.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan di Kedai Emas Hajjah Nik Pa, Paka, Dungun, kira-kira jam 12.20 tengah hari pada 25 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa cuba mencuri seutas rantai tangan bernilai RM29,000 di dalam sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan kali kedua, hukuman boleh merangkumi penjara, denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh diwakili peguam YBGK, Najmi Adila Nasir.

Bagi kesalahan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta hukuman di Mahkamah Majistret Dungun.

Ringkasan AI

  • Seorang bekas jurutera mengaku bersalah cuba guna wang palsu beli barang kemas
  • Pertuduhan melibatkan penggunaan 359 keping wang RM50 palsu untuk pembelian di Kedai Emas Lelong Maya
  • Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan
  • Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan tetapkan tarikh sebutan semula kes dan hukuman
  • Dalam kes berasingan, tertuduh juga mengaku bersalah cuba mencuri gelang emas bernilai RM29,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!