PKPD: KKM banci tiga kampung di Sungai Lui

Ahmad Dzaffir ketika melakukan pemantauan di kawasan yang terlibat dengan PKPD di Sungai Lui.
Ahmad Dzaffir ketika melakukan pemantauan di kawasan yang terlibat dengan PKPD di Sungai Lui.
A
A
A

HULU LANGAT - Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan bancian penduduk di tiga kampung yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya akan membantu kakitangan kementerian berkenaan dari segi keselamatan.

“Proses bancian ini mengambil masa tiga hari, seramai lapan pegawai dan 53 anggota polis terlibat dalam penugasan ini.

"Dalam proses bancian yang dilakukan, jika ada penduduk yang didapati mempunyai simptom Covid-19 akan diarahkan untuk melakukan saringan di Klinik Desa Sungai Lui,” katanya ketika sidang media di Dewan Serbaguna Orang Ramai Sungai Lui di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya mendapati 3,900 penduduk di kawasan berkenaan mematuhi arahan PKPD serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Kita melakukan rondaan berkala setiap jam dalam tempoh 24 jam di kawasan ini. Kita mendapati tiada aktiviti berlaku dalam radius lima kilometer di kawasan ini, semua penduduk akur dan mengikut arahan pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, kerajaan melaksanakan PKPD di tujuh kampung berkuat kuasa tengah malam 30 Mac lalu hingga 13 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan pada 29 Mac lalu memaklumkan arahan itu membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan nasihat KKM yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.

Tujuh kampung yang menjalani PKPD ialah Kampung Batu 21, Kampung Batu 22, Kampung Batu 23, Kampung Batu 24, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Tujuh kampung di Hulu Langat jalani PKPD

PKPD: Sungai Lui dikawal ketat pasukan keselamatan