X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Tujuh kampung di Hulu Langat jalani PKPD

A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seramai 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor diarahkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKPD di kawasan itu turut melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu terpaksa diambil ekoran 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di kawasan tersebut.

"Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan PKPD, arahan kedua selepas Simpang Renggam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, tujuan utama PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

Jelasnya, langkah itu akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Dengan pelaksanaan perintah itu, semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Selain itu, bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan dan semua aktiviti perniagaan dihentikan.

"Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup," katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan pematuhan perintah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

"Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa," katanya.

Sehubungan itu, penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-89114200.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus