‘Harganya terlalu mahal untuk sebuah negeri kecil’ - Mazri

SHAH ALAM – Langkah politik yang terlalu ghairah dalam sebuah negeri kecil telah merosakkan banyak perkara termasuk hubungan antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya.
Beliau berkata, keadaan tersebut turut menjejaskan kepercayaan antara rakan gabungan serta membentuk persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Bagi sebuah negeri kecil, harganya terlalu mahal. Langkah Perlis yang merosakkan. Perlis tidak perlukan perebutan kuasa dan PN tidak perlukan drama.
“Negara tidak perlukan politik nafsu besar yang akhirnya mencalar semua pihak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, timbul dakwaan wujudnya akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang ditandatangani oleh lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tiga daripada Pas dan lima daripada Bersatu.
Berikutan itu, Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatannya atas faktor kesihatan,dan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah telah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Pada hari yang sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Ringkasan AI
- Langkah politik ghairah di sebuah negeri kecil merosakkan hubungan antara parti komponen dalam Perikatan Nasional
- Keadaan tersebut membentuk persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan menjejaskan kepercayaan antara rakan gabungan
- Perlunya negeri kecil seperti Perlis mengelak dari perebutan kuasa dan drama politik
- Wujudnya dakwaan berupa akuan bersumpah untuk menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, mengakibatkan peletakan jawatannya
- Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

