Masuk Malaysia dengan pas sosial, rupa-rupanya sindiket forex, cabutan bertuah

SHAH ALAM – Sindiket penipuan cabutan bertuah dan forex yang melibatkan warga China dengan berselindung di sebalik pas lawatan sosial dan pas kerja untuk memasuki Malaysia bagi melakukan operasi pusat panggilan berjaya ditumpaskan di Sunsuria City, Sepang baru-baru ini.
Dua serbuan dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada 26 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan pertama pada jam 1 petang melibatkan sindiket penipuan cabutan bertuah dalam talian dengan tangkapan 14 warga China termasuk empat wanita.
Menurutnya, serbuan kedua pada jam 5 petang pula membabitkan sindiket penipuan forex dalam talian dengan tangkapan 10 warga China termasuk tiga wanita.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kes ini merupakan sindiket yang berlainan yang menyasarkan warga China sebagai mangsa.
“Dipercayai ahli sindiket terbabit masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Jun lalu menggunakan pas lawatan sosial dan pas kerja.
“Semakan juga sedang dibuat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesahkan ketulenan dokumen mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.
Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menggunakan aplikasi ‘QQ’ sebagai platform e-iklan bagi mendorong mangsa membeli nombor bertuah yang menjanjikan hadiah wang tunai sedangkan ia tidak wujud.
Bagi sindiket forex pula, pada peringkat awal, sindiket mencari mangsa melalui aplikasi ‘Tonghuasin’ sebelum menggunakan Telegram bagi urus niaga.
“Mangsa yang dijanjikan pulangan keuntungan akan diperdaya setelah wang modal pelaburan diserahkan,” ujarnya.
Tambahnya, rampasan bagi kedua-dua kes berjumlah RM60,000 melibatkan barangan seperti komputer riba, telefon bimbit serta penghala.
Justeru, orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan mana-mana individu atau kumpulan mencurigakan di kawasan kediaman dan premis perniagaan bagi tindakan pencegahan.
Ringkasan AI
- Sindiket penipuan cabutan bertuah dan forex melibatkan warga China ditumpaskan di Sunsuria City, Sepang
- Serbuan oleh JSJK Selangor dan BSJK IPD Sepang pada 26 November lalu membawa kepada penangkapan 24 warga China
- Sindiket menggunakan pas lawatan sosial dan pas kerja untuk memasuki Malaysia dan melakukan operasi
- Mangsa ditipu melalui aplikasi 'QQ' dan 'Tonghuasin' sebelum beralih ke Telegram untuk transaksi
- Barangan dirampas bernilai RM60,000 termasuk komputer riba, telefon bimbit dan penghala
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
