Warga emas disamun dua lelaki bertopeng

Status berhubung kegiatan samun dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang dimuat naik di Facebook.
Status berhubung kegiatan samun dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang dimuat naik di Facebook.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang wanita warga emas disamun dua lelaki bertopeng di Tali Air 6, Ban 3, Sekinchan pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 85 tahun diacu senjata tajam dan mukanya ditekup dengan baju sebelum suspek menggeledah almari di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, selepas disamun, mangsa segera memberitahu jirannya sebelum jirannya itu memaklumkan kepada anak lelaki mangsa.

Menurutnya, anak mangsa berusia 62 tahun kemudian membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk serta keluar melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

"Mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana bertopeng dan ketika kejadian salah seorang daripadanya memegang senjata tajam sambil mengacu ke arah mangsa.

"Suspek juga mengugut mangsa diam sekiranya tidak mahu dicederakan manakala seorang lagi menggeledah almari mencari barang berharga.

"Semasa kejadian, suspek membawa senjata yang tidak dapat dikenalpasti. Bagaimanapun, dua cap jari dijumpai di bahagian laci almari berkenaan," katanya.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM50 termasuk cincin emas dan kad pengenalan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rugi RM1,870 disamun tiga lelaki

Kejadian samun itu berlaku kali kedua dalam tempoh seminggu ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, seorang penunggang motosikal berusia 39 tahun menjadi mangsa samun tiga lelaki menaiki dua motosikal seperti yang tular di Facebook dalam kejadian di Tali Air 6, Ban 2, di sini semalam.

Kejadian jam 4 petang itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Parit 7 menghala ke Taman Ria.