Lelaki, wanita Indonesia dipenjara dua tahun miliki wang palsu RM138,920

Dua warga Indonesia dihukum penjara dua tahun kerana memiliki wang kertas palsu RM138,920. Gambar hiasan
Dua warga Indonesia dihukum penjara dua tahun kerana memiliki wang kertas palsu RM138,920. Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Dua warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki wang kertas palsu berjumlah RM138,920 minggu lepas.

Wawan Riduanto, 31, yang bekerja sebagai petani, dan tukang masak, Emi Diansari, 37, didakwa melakukan kesalahan itu di bahu jalan di Jalan Serian-Tebedu, Serian kira-kira 4.45 petang pada 8 Oktober lepas.

Mereka didakwa bersama dua lagi iaitu Abang Firdaus Abang Abdul Malek, 29, yang merupakan penduduk tempatan, dan Hendra, 32, dari Indonesia, yang mengaku tidak bersalah.

Keempat-empat tertuduh didakwa memiliki 1,200 keping wang kertas RM100, 240 keping RM50, 296 keping RM20 dan 100 keping RM10.

Hakim Musli Abdul Hamid memerintahkan Emi dan Wawan, yang tidak diwakili peguam, menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 489C dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, P Ruvinasini serta Asmawi Nur Haqim Mokhtar manakala peguam Patrick Voon mewakili Hendra dan Abang Firdaus.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 November depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan Abang Firdaus diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan manakala Hendra diarah menjalani tahanan reman di penjara.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 23 menahan dua lelaki warga asing yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan dan dipercayai baru sahaja memasuki Sarawak melalui sempadan Tebedu-Entikong.

Artikel Berkaitan:

Setelah disoal siasat, mereka memandu arah pasukan keselamatan kepada seorang lagi individu tidak jauh dari lokasi pertama yang membawa kepada penemuan wang kertas palsu berkenaan.

Susulan itu, seorang lagi wanita ditahan berhubung kes tersebut. - Bernama

Ringkasan AI

  • Dua warga Indonesia dihukum penjara dua tahun kerana memiliki wang kertas palsu RM138,920 di Kuching
  • Mereka dan dua lagi individu, satu penduduk tempatan dan satu warga Indonesia, didakwa bersama memiliki wang palsu
  • Kesalahan dilakukan di Jalan Serian-Tebedu, Serian jam 4.45 petang pada 8 Oktober
  • Hukuman dijalani bermula hari penghakiman tanpa perwakilan peguam
  • Mahkamah tetapkan 13 November untuk sebutan semula kes, dua lagi tertuduh mendapat pelbagai arahan reman dan jamin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!