Pulihkan rantaian bekalan pertanian

A
A
A

ALHAMDULILLAH, kita telah lalui bersama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu selama 14 hari yang pertama. Dalam tempoh ini, kita boleh saksikan baik mereka yang berkeluarga atau merantau mencari rezeki di ibu kota boleh mula bekerja dari rumah atau menghabiskan masa berkualiti dengan memasak, mengemas rumah dan mencuba hobi yang baru.

Dalam tempoh ini juga, rakyat Malaysia termasuk penulis dapat mengalami sendiri pengalaman baharu dalam mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan rumah. Selaku ketua keluarga, adalah menjadi tugas penulis untuk membeli bekalan bagi rumah dan keluarga. Ada ketika penulis dapat membeli bahan yang dimahukan, ada ketika ia sudah kehabisan stok di pasar raya.

Namun, kita bersyukur kerana kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan akan sentiasa mencukupi. Namun, kita tidak boleh menafikan bahawa dengan terhadnya pergerakan rakyat, maka permintaan terhadap produk pertanian seperti ternakan dan sayuran yang sebahagian besarnya mudah rosak dan tidak tahan lama akan terjejas.

Hotel, restoran dan kedai makan adalah sub sektor perkhidmatan yang menjadi pembeli terbesar produk pertanian kini tidak mempunyai keperluan untuk membeli pada kadar biasa sekali gus menjadi penyumbang kepada kejutan permintaan yang berlaku kini.

Selain itu, pelaksanaan PKP juga menyebabkan bilangan mereka yang dapat bekerja dalam sektor pertanian juga dihadkan.

Ini diakui sendiri oleh Setiausaha Persatuan Pekebun Sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong, apabila pengeluaran sayur-sayuran di Cameron Highlands diturunkan kepada 500 tan metrik sehari daripada 800 tan metrik kebiasaannya.

Sekiranya hasil itu tidak dituai dan dijual, risiko hasil itu akan rosak tinggi dan ia bukan sahaja akan merugikan pengusaha sektor pertanian malahan dikhuatiri akan menjejaskan terus pengeluaran produk mereka kerana kerugian berterusan.

Maka, kita kini berhadapan dengan dilema kerana kedua-dua pihak, permintaan dan pengeluaran sedang menghadapi masalah dan ia perlu diselesaikan bagi menjamin bekalan makanan dan bahan mentah negara sentiasa mencukupi dan rantaian bekalan tidak putus.

Artikel Berkaitan:

Intervensi

Oleh yang demikian, perlu ada intervensi daripada pihak kerajaan untuk memulihkan rantaian bekalan produk pertanian dan memastikan pasaran ini terus berfungsi walaupun negara kini sedang menghadapi cabaran wabak Covid-19. Kerajaan telah memberi jaminan bahawa lori-lori logistik yang membawa bahan makanan tidak akan ditahan dalam sekatan jalan raya.

Kerajaan juga melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diharapkan dapat segera memobilisasikan agensi seperti FAMA untuk mengambil alih sementara waktu peranan sebagai peraih dan pemborong produk pertanian agar rantaian bekalan kepada pengguna akhir dapat dikekalkan dengan kos yang berpatutan. Ini penting bagi mereka yang tinggal di desa dan pedalaman.

Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa gaya hidup rakyat akan berubah disebabkan wabak Covid-19 ini. Lebih ramai akan membeli-belah melalui e-dagang kerana sudah terbiasa sewaktu PKP berjalan.

Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya segera memanfaatkan teknologi komunikasi dan tanpa wayar untuk memudahkan rakyat khususnya mereka yang celik teknologi untuk menggunakan aplikasi e-dagang dan logistik di telefon pintar masing-masing dalam membeli barangan keperluan dan bekalan makanan.

Sekiranya kita merujuk kepada pengumuman Menteri Kanan dan Pertahanan Isnin yang lepas, PKP fasa dua selama 14 hari ini lebih ketat dan had masa operasi bagi pasar raya, pasar, stesen minyak diperkenalkan bagi mengehadkan interaksi sesama individu di luar rumah. Mungkin inilah waktu terbaik untuk kerajaan melaksanakan cadangan ini seiring dengan perubahan semasa rakyat.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia