Kajian pilihan raya Datuk Bandar KL dilaksanakan UIAM - Hannah Yeoh

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan kajian berhubung isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bukannya DAP.
Beliau menegaskan bahawa perkara berkenaan dalam peringkat kajian.
"Kenapa kita buat kajian? Kerana ada rang undang-undang persendirian yang dikemukakan oleh ahli parlimen dalam sidang parlimen yang lepas.
"Jadi kajian ini bukan dilaksanakan sekarang. Kajian ini telah berlangsung sejak bulan Disember semasa mantan menteri wilayah.
"Kajian ini jangan takut, kajian ini dilakukan oleh UIAM, jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP, ini ialah Universiti Islam Antarabangsa yang saya yakin kajian mereka berkualiti," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Seri Wilayah di sini pada Selasa.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Mengulas lanjut, kata Hannah, pihak masih menunggu hasil kajian sebelum tindakan lanjut.
"Saya tak ada hasil kajian dan kita masih menunggu selepas kita dengar kajian boleh buat atau tidak boleh, baru kita akan sediakan kertas Kabinet untuk maklumkan kepada Kabinet sama ada JWP hendak pinda akta atau tidak pinda akta," ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar dilaporkan berkata, beberapa perkara asas perlu ditegaskan secara berprinsip dan berfakta, selain tidak wajar dilaksanakan secara tergesa-gesa dengan berselindung di sebalik agenda reformasi.
Kata Sukri, kekeliruan tentang pihak yang perlu dirujuk oleh Datuk Bandar sebenarnya berpunca daripada kegagalan menyusun struktur kuasa dan mekanisme semak dan imbang antara kerajaan Persekutuan, ahli Parlimen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ringkasan AI
- Kajian isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dilakukan oleh UIAM, bukan DAP
- Kajian ini berada dalam peringkat kajian
- Ada rang undang-undang persendirian yang mendorong kajian ini
- Kajian telah berlangsung sejak bulan Disember semasa mantan menteri wilayah
- Hasil kajian masih ditunggu sebelum tindakan lanjut dibuat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

