Tanah 5,207 hektar memang berada di bawah wilayah Indonesia, bukan diserahkan - PM

ANWAR
ANWAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keseluruhan kawasan pertikaian di Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) Sungai Sinapad - Sungai Sesai berjumlah 5,207 hektar sememangnya berada di kawasan pentadbiran Indonesia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, susulan pengukuran dan penandaan semula sempadan Malaysia - Indonesia bagi OBP dua kawasan berkenaan, negara memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar.

Menurutnya, ia merangkumi sebahagian kecil dari tiga kampung iaitu Kampung Kabulanggalo, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas termasuk ke kawasan Malaysia.

"Kawasan yang daripada awal hak Indonesia, tetapi oleh kerana peta itu belum dimuktamadkan, kita tidak bersetuju. Tapi selama ini sejak 1915, itu tidak dipertikai oleh semua kerajaan Inggeris dan kerajaan Malaysia.

"Ini yang dikatakan, walaupun pada faktanya tidak dimuktamadkan kerana perjanjian itu tidak ditandatangani, ia menjadi milik dan di bawah pengelolaan kerajaan Indonesia," katanya pada sesi penerangan khas berhubung isu penjajaran sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Perdana Menteri menjelaskan, sempadan di kawasan OPB adalah berdasarkan prinsip yang terkandung pada perjanjian 1915 dengan 5,987 hektar kekal di bawah milik Indonesia.

Oleh itu ujarnya, dakwaan berkenaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga buah kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan ataupun berniat jahat sama sekali.

"Kerja penandaan dan pengukuran semula OBP Sungai Sinapad dan Sungai Sesai dilaksanakan hingga Ogos 2022 dan Oktober 2023 dengan jarak muktamad dipersetujui iaitu 11,545 kilometer (km).

"Jadi proses pengukuran rundingan itu berjalan selama 47 tahun sejak 1977, diselesaikan secara berperingkat, tetapi pada hemat kita harus disegerakan untuk menjaga hubungan baik antara dua negara berdasarkan perjanjian serta konvensyen antarabangsa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kawasan pertikaian di Masalah Sempadan Tertangguh Sungai Sinapad - Sungai Sesai adalah di kawasan pentadbiran Indonesia
  • Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar setelah pengukuran dan penandaan semula sempadan dengan Indonesia
  • Sebahagian kecil dari tiga kampung termasuk ke dalam kawasan Malaysia selepas penyelesaian masalah sempadan
  • Sempadan di kawasan tersebut berdasarkan prinsip yang terkandung pada perjanjian 1915 dengan 5,987 hektar kekal di bawah milik Indonesia
  • Proses pengukuran rundingan sempadan berlangsung selama 47 tahun sejak 1977 dan diselesaikan secara berperingkat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!