Dakwaan Malaysia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia tidak benar, satu penipuan - PM

ANWAR
ANWAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di Nunukan, Sabah - Kalimantan tidak benar dan satu penipuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia termasuk tiga kampung berkenaan bersandarkan kepada dua konvensyen dan satu perjanjian.

"Kawasan OBP (Outstanding Boundary Problem) sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara kerana ia belum diputuskan oleh kedua-dua negara.

"Kawasan itu merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dahulu lagi.

"Saya ingin menegaskan bahawa penentuan sempadan ini tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal-balik atau untung-rugi seperti yang didakwa," katanya ketika Sesi Penerangan Khas Parlimen mengenai Isu Jajaran Sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu Anwar menjelaskan, Malaysia dan Indonesia terikat dengan perjanjian yang dimeterai melibatkan konvensyen persempadanan antara kerajaan British dan Belanda, Boundary Convensyen 1891 untuk keseluruhan Sabah dan Sarawak manakala Perjanjian Persempadanan Boundary Agreement 1915 untuk Sabah.

Bagi sebahagian kecil sektor di Sarawak, Konvensyen Persempadanan antara British dan Belanda telah ditandatangani di The Hague pada 26 Mac 1928 iaitu Boundary Convention 1928.

"Jadi sebab itu kita harus terikat dengan perjanjian dan yang dapat dipertikai, saya lihat adalah kawasan dari awal sejak 1919 ditekankan dalam semua rekod kita.

"Ia tidak kita sahkan tetapi tidak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Perdana Menteri berkata, ada beberapa hal sensitif dalam rundingan bersama Indonesia masih belum selesai.

Menurutnya, ia melibatkan isu lima kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah - Kalimantan Utara, empat kawasan di sektor OBP Sarawak - Kalimantan Barat yang masih dalam proses perundingan dan masih belum dimuktamadkan.

"Sebab itu kenyataan-kenyataan kita harus berhati-hati dan berhemah.

"Kalau nak cari keuntungan politik sempit, bukan masanya untuk korbankan kepentingan Malaysia atau korbankan kepentingan hubungan baik antara dua negara.

"Jadi saya nak jelaskan sepertimana tohmahan kita serahkan Ambalat, hal itu belum pun dimuktamadkan tetapi tohmahan pembangkang sudah diserahkan, saya tidak tahu serah wilayah mana," katanya.

Ringkasan AI

  • Dakwaan Malaysia menyerahkan tanah kepada Indonesia sebagai pampasan tidak benar
  • Penentuan sempadan bersandarkan kepada dua konvensyen dan satu perjanjian
  • Kawasan perundingan sempadan masih belum dimuktamadkan
  • Malaysia dan Indonesia terikat dengan perjanjian persempadanan sejak zaman British dan Belanda
  • Beberapa isu sensitif dalam rundingan sempadan dengan Indonesia masih belum selesai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!