Penjelasan PM tentang isu 5,207 hektar tanah semakin mengelirukan - Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu 5,207 hektar kawasan sempadan negara di Dewan Rakyat pada Rabu didakwa semakin mengelirukan.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau hadir ke Dewan Rakyat dengan harapan Perdana Menteri akan menafikan secara tegas dan berkata tanpa berbelit bahawa angka itu tidak benar, tidak wujud dan hanyalah dongeng semata mata.
Menurutnya, Perdana Menteri menafikan kewujudan angka 5,207 hektar itu pada minggu lalu dengan tegas dan menyifatkannya sebagai pembohongan serta fitnah, namun pendirian itu dilihat berubah selepas cuti Thaipusam apabila kawasan terbabit dikatakan bukan milik mana-mana negara kerana masih dalam rundingan.
"Jadi sekarang ini apa sebenarnya. Minggu lepas ia digambarkan seperti cerita rekaan. Hari ini ia wujud cuma dikatakan bukan wilayah sesiapa.
"Esok lusa mungkin kita akan diberitahu ia memang wujud cuma kita tidak pernah rasa ia milik kita. Lama lama rakyat pula yang terasa seperti kita ini duduk di negara khayalan," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.
Ahmad Fadhli berkata, dalam isu melibatkan sempadan negara, istilah bukan milik sesiapa bukan ayat yang menenangkan, sebaliknya menimbulkan kebimbangan kerana sejarah membuktikan banyak wilayah hilang bukan melalui peperangan, tetapi akibat ayat-ayat lembut seperti itu.
"Kawasan yang tidak pernah dituntut, tidak jelas, masih rundingan, akhirnya menjadi milik orang lain secara rasmi dan kita hanya tinggal kenyataan media untuk dikenang," ujarnya lagi.
Justeru, beliau mempersoalkan siapakah pihak yang mentadbir kawasan itu selama ini sekiranya ia benar-benar bukan milik mana-mana negara, sedangkan perkara tersebut sepatutnya menjadi asas penting dalam rundingan sempadan.
Dalam pada itu, katanya, penegasan kerajaan bahawa Malaysia tidak menyerahkan tanah sebagai pampasan juga mengundang persoalan apabila pada masa sama wujud kenyataan mengenai rundingan pampasan tanah.
"Kalau tiada konsep pampasan kenapa wujud istilah pampasan. Pampasan kepada siapa, untuk apa dan dalam bentuk apa. Atau ini jenis pampasan yang tidak boleh dipanggil pampasan tetapi semua orang faham ia sebenarnya pampasan," menurutnya.
Tambah beliau, kerajaan menekankan bahawa kawasan itu belum dimuktamadkan sempadannya sejak sekian lama, namun ada angka keluasan disebut secara spesifik oleh pihak Indonesia dan ada titik sempadan dirujuk satu persatu.
"Yang rakyat persoalkan bukan retorik serah atau tidak serah. Rakyat tanya soalan yang sangat lurus. Adakah hasil rundingan terbaru ini menyebabkan kawasan yang sebelum ini berada dalam zon tuntutan atau pengaruh Malaysia kini diiktiraf berada di bawah pentadbiran Indonesia," katanya.
Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, ia bermakna berlaku perubahan jajaran sempadan yang secara mudahnya membawa maksud peta negara berubah.
Ahmad Fadhli turut menyifatkan pendekatan 'percayalah cakap kami' sebagai tidak wajar kerana isu berkenaan melibatkan sempadan dan kedaulatan negara, bukan projek pembangunan biasa.
Beliau memberitahu, selepas 45 tahun rundingan Parlimen masih belum diberi peta penuh sebelum dan selepas, belum didedahkan asas koordinat yang digunakan dan belum dibentangkan justifikasi terperinci berdasarkan perjanjian lama.
"Kita semua mahu hubungan baik dengan Indonesia. Tiada siapa mahu ketegangan. Tetapi diplomasi yang baik tidak memerlukan rakyat menjadi penonton yang gelap maklumat," jelasnya.
Beliau menegaskan, rakyat hanya mahu dengar dengan jelas dan konsisten bahawa Malaysia tidak kehilangan apa apa walau satu inci tanah.
"Selagi ayat itu tidak dapat disebut dengan yakin berserta bukti peta dan dokumen selagi itulah jawapan yang diberi akan terus dilihat bukan sebagai penjelasan tetapi sebagai satu lagi episod mengurus persepsi," kata Ahmad Fadhli.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh memberikan jawapan mengelirukan isu sempadan negara
- Perdana Menteri menafikan kewujudan angka 5,207 hektar sempadan negara, menyifatkannya sebagai pembohongan
- Kawasan sempadan tersebut dikatakan bukan milik mana-mana negara kerana masih dalam rundingan
- Ahmad Fadhli Shaari mengkritik pendekatan kerajaan yang mungkin menyebabkan Malaysia kehilangan wilayah
- Dia menegaskan rakyat mahu penjelasan jelas dan konsisten bahawa Malaysia tidak kehilangan sebarang tanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

