Bakat pelajar terserlah di pentas Bicara Berirama Karangkraf Ramadan Bookfest

SHAH ALAM – Pertandingan Bicara Berirama sempena Karangkraf Ramadan Bookfest bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat pelajar sekolah menengah, malah turut menyemai penghayatan nilai-nilai Ramadan dalam kalangan peserta.
Eksekuti Pemasaran Buku Karangkraf, Muhammad Haziq Ahmad Zahar berkata, program tersebut memberi ruang kepada pelajar mengetengahkan kreativiti masing-masing menerusi persembahan bertemakan elemen Ramadan yang dijadikan antara fokus utama penganjur.
Menurutnya, walaupun tema Ramadan diutamakan, peserta masih diberikan kebebasan untuk mengolah idea secara kreatif agar persembahan lebih segar, menarik dan berkesan.
“Melalui pertandingan ini, kita mahu asah bakat pelajar dalam bidang kokurikulum, khususnya seni bahasa dan persembahan pentas selain menerapkan nilai-nilai murni Ramadan dalam kalangan peserta.
"Dalam masa sama, kami turut menawarkan diskaun RM5 kepada pelajar dan guru yang membeli buku sepanjang program berlangsung sebagai usaha menggalakkan budaya membaca dalam komuniti sekolah.
"Inisiatif tersebut selari dengan matlamat Karangkraf Ramadan Bookfest yang bukan sahaja meraikan bulan penuh keberkatan, malah memperkasa budaya ilmu dan pembacaan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda," ujarnya kepada Sinar Harian.
Pertandingan yang diadakan di Studio F Karangkraf pada Rabu itu disertai lima sekolah dan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa.
Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dirangkul oleh SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara dan SMK Puchong Utama (1).
Sementara itu, guru pengiring SMK Kampung Jawa, Nur Amalina Ishak berkata, program anjuran Buku Karangkraf dengan kerjasama Sinar Bestari itu wajar diteruskan kerana membuka ruang kepada pelajar menonjolkan idea dan kebolehan mereka di luar bilik darjah.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dalam masa yang agak terhad, anak-anak ini dapat hasilkan satu konsep dengan gaya pergerakan tersendiri dan hafal semuanya. Itu bukan perkara mudah, ia perlukan usaha dan pengorbanan besar.
“Apabila murid sertai aktiviti seperti ini, pengorbanan sangat besar. Mereka kena pandai bahagikan masa antara latihan, kerja sekolah dan aktiviti lain tapi di sinilah mereka belajar tentang disiplin dan tanggungjawab,” ujarnya.
Tambah Nur Amalina, pengalaman menyertai pertandingan secara bersemuka memberi impak lebih mendalam berbanding penyertaan secara dalam talian memandangkan pelajar dapat merasai suasana sebenar pertandingan selain menerima sokongan secara langsung.
“Walaupun sebelum ini banyak program dibuat secara alam maya, pengalaman bersemuka beri motivasi yang sangat berbeza. Sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak sekolah dan ibu bapa juga banyak membantu menaikkan semangat anak-anak,”ujarnya.
Ringkasan AI
- Pertandingan Bicara Berirama Karangkraf Ramadan Bookfest mencungkil bakat pelajar dan menyemai nilai-nilai Ramadan
- Peserta diberi kebebasan kreatif dengan fokus pada tema Ramadan
- Tujuan pertandingan adalah untuk mengasah bakat seni bahasa pelajar dan menerapkan nilai murni Ramadan
- Program menawarkan diskaun RM5 untuk pembelian buku oleh pelajar dan guru
- Pengalaman bersaing secara bersemuka memberi impak lebih mendalam dan motivasi berbanding pertandingan dalam talian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

