PRK Cameron Highlands: Lapan laporan polis setakat ini

No Image Caption
A
A
A

TANAH RATA - Sebanyak lapan laporan polis diterima sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang bermula Sabtu lepas, sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, bagaimanapun tiada sebarang kertas siasatan yang dibuka setakat ini.

Beliau berkata laporan polis tersebut melibatkan tiga kes iaitu berkaitan ugutan seorang senator terhadap Tok Batin di Sungai Koyan pada 11 Jan lepas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ashari berkata satu lagi kes membabitkan laporan oleh Pemuda MIC dan Barisan Nasional (BN) berkaitan tular foto wanita memakai baju Pakatan Harapan (PH) memberi duit kepada penduduk Orang Asli di Pos Mension.

"Laporan dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Ashari satu lagi kes adalah berkaitan pemasangan bahan kempen di bangunan kerajaan oleh BN di Sg Koyan dan kes tersebut dirujuk kepada SPR atas arahan Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara itu, katanya sebanyak 10 kempen dan ceramah diadakan dalam jangka masa tersebut dengan masing-masing lima daripada PH dan BN.

Beliau berkata permit ceramah boleh dipohon daripada Ketua Polis Daerah Cameron Highlands dan Ketua Polis Daerah Lipis oleh calon-calon serta ejen-ejen calon yang bertanding, sebagai mana peruntukan Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya 1954.

Artikel Berkaitan:

"Untuk parti-parti yang berkempen menggunakan kenderaan dinasihatkan juga memohon permit dan elakkan daripada melanggar peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan serta perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Mengenai suasana berkempen di seluruh Cameron Highlands dan Lipis, beliau berkata setakat ini keadaan terkawal sambil mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang berkempen kerana akur dengan nasihat pihak polis.

"Diharapkan semua pihak dapat mengekalkan semangat berkempen yang matang sehingga tamat tempoh berkempen pada jam 12 tengah malam 25 Jan," katanya. - Bernama