X

Kindly register in order to view this article
!

Kes baharu Covid-19 meningkat, kadang-kala mendatar

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan carta kes positif mengikut negeri setakat 31 Mac pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini- BERNAMA
A
A

PUTRAJAYA - Dalam tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac, trend jumlah kes positif baharu harian didapati meningkat dan kadang-kala mendatar.

Memaklumkan evaluasi ringkas situasi selepas pelaksanaan PKP, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari.

Dalam tempoh minggu pertama PKP (18-25 Mac), graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend dalam lingkungan antara 117 dan 212 kes, manakala minggu kedua (26-31 Mac) menyaksikan bacaan tertinggi kes baharu ialah 235 dan yang terendah 130 kes.

“Data ini menunjukkan kesan daripada aktiviti yang dijalankan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) dan pelbagai agensi dalam tempoh satu bulan kebelakangan ini (termasuk tempoh PKP).

“Namun begitu, tempoh dua minggu (fasa kedua PKP) yang seterusnya adalah mustahak, di mana ia akan menentukan sama ada tindakan yang diambil oleh kerajaan setakat ini memberi impak yang diharapkan.

“Ini sememangnya berkait rapat dengan tingkah laku masyarakat dalam mematuhi PKP,” katanya pada sidang akhbar harian perkembangan wabak koronavirus (Covid-19) di KKM, hari ini.

PKP fasa pertama bermula pada 18 Mac lepas dan berakhir pada 11.59 malam ini (31 Mac), dilanjutkan untuk fasa kedua bermula tengah malam ini (1 April) hingga 14 April bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia yang menunjukkan peningkatan.

Kerajaan juga mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di dua negeri iaitu di Johor melibatkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid serta di Selangor iaitu Batu 21 hingga 24 Sungai Lui, Hulu Langat, masing-masing berkuat kuasa pada 27 Mac hingga 9 April dan 30 Mac hingga 13 April.

PKPD turut diisytihar di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 13 April.

Mengenai fasa kedua PKP, Dr Noor Hisham menegaskan, tempoh dua minggu akan datang adalah amat penting dan kerjasama semua pihak sangat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 diputuskan.

“Justeru, KKM menasihatkan orang ramai duduk di rumah, ‘stay at home’ sambil mengamalkan etika kebersihan diri dan melakukan penjarakan sosial antara satu sama lain serta menggunakan penutup hidung dan mulut sekiranya mempunyai gejala.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengamalkan pemakanan secara sihat dengan menyediakan menu sihat dan seimbang selain menjalani gaya hidup aktif dengan aktiviti fizikal ataupun senaman ringan di rumah,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihati golongan perokok menggunakan peluang itu untuk berhenti merokok dan bagi bukan perokok pula boleh bercakap kepada ahli keluarga yang merokok agar semua bebas daripada bahaya rokok.

Beliau berkata, minda positif perlu dipupuk dalam kalangan ahli keluarga dan mengamalkan teknik relaksasi (istirahat) yang betul serta menenangkan minda untuk menjalani kehidupan seharian sepanjang tempoh PKP.

“Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi ‘virtual health advisory’ dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook ‘live’ KKM dari 10 pagi hingga 10.30 pagi serta ‘live’ DoctorOnCall dari 3 hingga 3.30 petang pada Isnin hingga Jumaat,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!