FFR laluan LRT Shah Alam dijangka siap akhir Februari - Prasarana

Kemajuan FFR bagi kumpulan pertama membabitkan enam tren kini mencapai 99 peratus.
Kemajuan FFR bagi kumpulan pertama membabitkan enam tren kini mencapai 99 peratus.
A
A
A

KLANG - [KEMAS KINI] Pelaksanaan fault free run atau ujian larian tanpa gagal (FFR) bagi laluan Transit Aliran Ringan Shah Alam (LRT3) berjalan lancar dengan semua fasa dijangka siap menjelang akhir Februari, kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana Dr Prodyut Dutt.

Beliau berkata, kumpulan pertama membabitkan enam tren kini mencapai 99 peratus siap, kumpulan kedua (lapan tren) 82 peratus siap manakala kumpulan ketiga melibatkan lapan tren masih belum bermula manakala kesemua FFR masing-masing dijangka selesai pada 30 Januari, 2 dan 28 Februari.

Menurutnya, selepas FFR, kontraktor perlu menjalankan satu lagi aktiviti iaitu ujian percubaan laluan dan kami tidak terlalu menekankan kepada masa, sebaliknya tumpu pada hasil.

"Jadi ujian percubaan ini perlu disiapkan dengan berjaya 100 peratus sebelum Prasarana bersetuju untuk mengambil alih daripada kontraktor dan melaksanakan operasi percubaan.

"Walaupun FFR disasarkan siap pada 28 Feb, selepas itu masih ada ujian percubaan yang kontraktor perlu buat. Kita perlu mengambil kira satu perkara pada satu masa.

"Seperti saya nyatakan, fokus kami terhadap hasil kerja kontraktor, bukannya tempoh masa," katanya pada taklimat media berkaitan perkembangan projek LRT3 di sini pada Jumaat.

Prodyut (dua dari kiri) ketika melawat Bangunan Pusat Kawalan Operasi (OCC), Depoh Johan Setia, Klang pada Jumaat.
Prodyut (dua dari kiri) ketika melawat Bangunan Pusat Kawalan Operasi (OCC), Depoh Johan Setia, Klang pada Jumaat.

Prodyutt berkata, pasukan teknikal juga telah menyelesaikan isu yang dikesan sebelum ini termasuk ketidakstabilan perisian isyarat dan gangguan seperti masalah perisian, masalah perhentian tren dan pelepasan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, apabila laluan itu siap, ia dijangka meningkatkan trafik kira-kira tujuh peratus di stesen Transit Aliran Massa (MRT) sedia ada sepanjang laluan Kajang dan Kelana Jaya, dengan bilangan penumpang dijangka mencecah 100,000 sehari menjelang 2030.

"Sebaik sahaja ujian percubaan selesai dan semua SOP (prosedur operasi standard) diperhalusi untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti petir atau kucing melompat atas landasan, semua SOP dan semua dokumen ujian perlu dihantar kepada pihak APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat).

"APAD perlu meneliti semua dokumen itu dan kemudian mereka kena luluskan. Kita bekerjasama rapat dengan APAD dan mereka juga terlibat dalam FFR dan ujian percubaan," katanya.

Sebelum ini, Prasarana dilaporkan mengesahkan laluan LRT3 tidak dapat memulakan operasi pada 2025 kerana perlu menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang dikesan semasa fasa ujian dan penyediaan perkhidmatan.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan berkata, pembukaan hanya akan diumumkan selepas semua komponen teknikal termasuk sistem isyarat, perisian tren dan integrasi keseluruhan rangkaian disahkan berfungsi secara stabil mengikut piawaian APAD. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Pelaksanaan fault free run untuk LRT3 berjalan lancar, dijangka siap akhir Februari
  • Kumpulan pertama tren 99 peratus siap, sementara kumpulan kedua 82% dan kumpulan ketiga belum bermula
  • Selepas FFR, kontraktor perlu menjalankan ujian percubaan laluan
  • Pasukan teknikal menyelesaikan isu seperti ketidakstabilan perisian isyarat
  • Laluan dijangka meningkatkan trafik 7 peratus di stesen MRT sedia ada dengan penumpang dijangka 100,000 sehari menjelang 2030

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!