ASEAN perkukuh usaha banteras sindiket penipuan rentas sempadan

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA – ASEAN memperkukuh usaha membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu itu turut menjadi perhatian rasmi negara anggota kerana ia menjejaskan kestabilan dan keselamatan serantau.

Menurut beliau, beberapa mesyuarat tertutup antara pemimpin ASEAN telah membincangkan langkah tegas bagi mengekang sindiket berkenaan yang didakwa beroperasi di beberapa negara seperti Myanmar, Kemboja dan Laos.

“Saya pasti kita akan memperoleh kemajuan dalam Sidang Kemuncak ASEAN kerana isu ia bukan sahaja menjadi kebimbangan di negara ini, tetapi juga di negara lain. Ia memberi kesan terhadap kestabilan dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian di sesi Taklimat Bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini pada Rabu.

Anwar berkata, meskipun beberapa serbuan dan tindakan telah dijalankan oleh pihak berkuasa di negara terlibat, kegiatan penipuan dalam talian itu masih berulang dengan pembukaan semula pusat operasi baharu.

"Saya boleh memberi jaminan bahawa perkara ini benar-benar membuka mata. Negara anggota telah menunjukkan langkah-langkah yang telah diambil, dan memang ada tindakan sedang dijalankan,” ujarnya.

Beliau menambah, menteri luar serta pemimpin ASEAN akan terus mengangkat isu berkenaan dalam sidang kali ini bagi memastikan ada pendekatan menyeluruh untuk menamatkan kegiatan tersebut.

Sebelum ini media melaporkan beberapa individu tempatan antara yang menjadi mangsa sindiket penipuan di luar negara, terutamanya di Kemboja, Laos, Myanmar dan Filipina.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kebiasaannya diperdaya dengan tawaran kerja bergaji tinggi sebelum dipaksa bekerja dalam kegiatan penipuan atas talian dan dikurung tanpa dokumen perjalanan.

Ringkasan AI

  • ASEAN memperkukuh usaha membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu ini menjejaskan kestabilan dan keselamatan serantau
  • Langkah tegas dibincangkan dalam mesyuarat tertutup antara pemimpin ASEAN untuk mengekang sindiket yang beroperasi di beberapa negara
  • Anwar menyatakan kegiatan penipuan dalam talian masih berulang walaupun telah dilakukan serbuan dan tindakan oleh pihak berkuasa
  • Menteri luar dan pemimpin ASEAN mengangkat isu ini dalam sidang bagi memastikan ada pendekatan menyeluruh untuk menamatkan kegiatan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!