Pendakwaan mohon semak kebenaran Musa Aman dapatkan pasport

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi menyemak semula kebenaran yang diberikan Mahkamah Sesyen berhubung perlepasan pasport bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk rawatan ke luar negara.

Musa Aman sebelum ini memperoleh kebenaran untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi meneruskan rawatan di luar negara Singapura dan London oleh hakim Rozina Ayob.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim Shuib berkata, Musa selaku responden tidak boleh menggunakan alasan perubatan semata-mata untuk ke luar negara.

Hujahnya, responden gagal membuktikan pemeriksaan dan rawatan susulan tersebut tidak boleh dijalankan di Malaysia.

"Mahkamah perlu memberikan pertimbangan dengan melihat sejauh mana keperluan responden untuk mendapatkan rawatan ke luar negara termasuk dari segi ketersediaan rawatan di dalam negara untuk penyakit yang dialaminya," katanya.

Tegasnya, tiada sebarang rekod dikemukakan Musa yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan berkenaan yang menyatakan bahawa pemeriksaan ujian darah, ujian elektrokardiogram (ECG) dan beberapa ujian lain tidak boleh dibuat di Malaysia.

"Pemeriksaan mahupun ujian klinikal asas tersebut boleh dijalankan di Malaysia. Ini jelas menunjukkan bahawa responden boleh dan wajar untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan susulan di Malaysia tanpa perlu ke luar negara," katanya.

Sementara itu peguam Musa, Amer Hamzah Arshad berkata, anak guamnya telah mendapatkan rawatan di London sejak 1996.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, anak guamnya mengambil risiko sendiri apabila pulang ke tanah air ketika masih dalam rawatan pada Ogos lalu bagi memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan esok untuk keputusan permohonan pihak pendakwaan untuk semakan tersebut.