Belanjawan 2026 perkukuh sistem kesihatan negara

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2026 membawa impak besar kepada sektor kesihatan negara apabila kerajaan memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), meningkat berbanding RM45.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, langkah itu selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Kertas Putih Kesihatan dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan awam negara agar lebih mampan, moden dan inklusif.

Menurutnya, dengan peruntukan besar tersebut, KKM dapat melaksanakan pelbagai inisiatif penting termasuk pemodenan infrastruktur kesihatan di seluruh negara.

"Antara langkah utama termasuk menambah baik penyelenggaraan fasiliti kesihatan, menaik taraf wad hospital daerah bagi meningkatkan kapasiti dan keselesaan pesakit serta menggantikan peralatan perubatan lapuk dengan teknologi baharu yang lebih efisien dan selamat.

Dr HALIZA
Dr HALIZA

"Langkah ini dijangka bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan awam, malah memastikan rakyat menerima rawatan dalam persekitaran yang lebih selamat dan moden," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambah beliau, Belanjawan 2026 turut menekankan aspek kebajikan petugas kesihatan sebagai kunci kepada peningkatan mutu perkhidmatan.

Ujarnya, kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) kepada pegawai perubatan, pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian dilihat mampu mengekang kadar pemberhentian mereka dalam sektor awam.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini penting untuk mengekalkan tenaga pakar berpengalaman dalam sistem kesihatan awam, sekali gus mengurangkan ketirisan tenaga kerja ke sektor swasta yang menawarkan pendapatan lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, selain infrastruktur dan elaun, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan tenaga kerja kesihatan melalui penawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak dan jururawat.

Menurut Dr Haliza, langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan nisbah doktor dan jururawat berbanding pesakit, meningkatkan motivasi serta kepuasan kerja dalam kalangan petugas kesihatan, memastikan rakyat mendapat akses rawatan yang lebih cepat dan konsisten, serta mempertingkatkan kesinambungan program kesihatan di seluruh negara.

"Hasilnya, pesakit akan menikmati perkhidmatan yang lebih berkualiti dengan masa menunggu yang lebih singkat," katanya.

Dalam pada itu, ujarnya lagi, isu doktor kontrak telah lama menjadi antara cabaran terbesar dalam sektor kesihatan negara.

Beliau berkata, berdasarkan data tahun 2023, seramai 4,310 doktor kontrak meletak jawatan dalam tempoh tujuh tahun, termasuk 924 orang pada tahun tersebut bersamaan 2.82 peratus daripada keseluruhan 32,813 pegawai perubatan kontrak.

"Melalui Belanjawan 2026, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menawarkan pelantikan tetap kepada 4,500 doktor kontrak dan 935 graduan Institut Latihan KKM bermula tahun hadapan.

"Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar perletakan jawatan dalam kalangan doktor muda, malah meningkatkan kestabilan tenaga kerja dan kecekapan sistem kesihatan negara," katanya.

Perluasan program saringan kesihatan

ZURAINI
ZURAINI

Sementara itu, pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal berkata, penambahan bajet tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keluhan rakyat berhubung isu kesihatan awam.

Beliau berkata, bagaimanapun, masih banyak ruang yang perlu diperhalusi, terutamanya dalam menangani penyakit kanser dan penyakit tidak berjangkit.

"Tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendengar suara rakyat dan memberi perhatian kepada perubatan awam tetapi dalam isu kanser, masih banyak kelompangan yang perlu kita isi.

"Kerajaan perlu memberi tumpuan khusus kepada sektor penyakit kanser yang kian meningkat," katanya.

Ujar Zuraini, peningkatan jumlah pesakit kanser seiring dengan pertumbuhan penduduk memerlukan peluasan program saringan kesihatan dan kesedaran awal agar penyakit dapat dikesan di peringkat permulaan.

"Masih ramai masyarakat kurang maklumat tentang kanser. NGO seperti kami bergerak sendiri tanpa bantuan kerajaan untuk mengadakan program saringan dan kempen kesedaran.

"Kami berharap bajet kesihatan ini juga memberi ruang kepada NGO kesihatan yang memainkan peranan di akar umbi," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperluas saringan kanser kepada golongan muda kerana peningkatan kes dalam kalangan individu bawah 40 tahun semakin ketara.

Selain itu, ujarnya, program vaksinasi HPV yang bertujuan mencegah kanser pangkal rahim juga perlu diperluaskan kepada kumpulan pelajar tercicir dan pelajar sekolah agama yang tidak termasuk dalam program vaksinasi kebangsaan.

"Kalau kita hanya fokus kepada pelajar sekolah harian biasa, ramai pelajar tercicir dan pelajar sekolah agama akan terlepas peluang. Sedangkan vaksin ini sangat penting untuk melindungi wanita muda sebelum mereka aktif secara seksual," jelasnya.

Sebagai pesakit dan penyokong komuniti kanser, Zuraini menzahirkan kebimbangan terhadap kos rawatan yang semakin tinggi serta proses bantuan kewangan yang lambat.

"Ramai pesakit tidak mampu membayar rawatan seperti kimoterapi dan radioterapi. Ada yang perlukan ubat berharga RM4,000 sebulan. Bantuan ada, tapi prosesnya lambat. Pesakit tak ada banyak masa, jadi birokrasinya perlu dipendekkan," tegasnya.

Beliau mencadangkan agar sistem bantuan dan dana perubatan dipermudahkan selaras dengan era digital yang pantas agar pesakit dapat menerima bantuan segera tanpa melalui proses yang rumit.

REAKSI

THANA
THANA

“Perkhidmatan yang disediakan di klinik kesihatan kerajaan sangat baik kerana kos rawatannya masih rendah dan sebahagiannya diberikan secara percuma. Contohnya, pemeriksaan asas ditawarkan tanpa bayaran, manakala ubat pula boleh dihantar terus ke rumah atas permintaan pesakit dengan hanya kos RM6.”- Ajen insuran, Thana Chew Ne Meng, 65,

SHANTINI
SHANTINI

“Sistem KKM merupakan antara sistem kesihatan terbaik di rantau ini yang mudah diakses oleh masyarakat di bandar mahupun luar bandar. KKM juga menumpukan perhatian kepada pencegahan penyakit melalui program kesedaran awam dan vaksinasi.” - Shantini A/P R Ganasan, 25, Kerani

NOR SYAMIRA
NOR SYAMIRA

“Kakitangan KKM sentiasa menunjukkan sikap mesra dan komited dalam menjalankan tugas mereka. Usaha KKM dalam menangani pandemik Covid-19 dan sistem KKM wajar dipuji kerana memainkan peranan besar dalam memastikan rakyat Malaysia kekal sihat, sejahtera dan produktif.” - Nor Syamira Liana Nor Ashaha, 27, Suri rumah

DAMIA
DAMIA

“Bagi individu yang akan berkahwin, penggunaan MySejahtera sangat memudahkan urusan kerana semua maklumat lengkap seperti tarikh dan lokasi pemeriksaan dipaparkan dengan jelas dalam aplikasi tersebut. Kaedah pembayaran kini secara tanpa tunai (cashless), menjadikan keseluruhan proses lebih mudah dan efisien.”- Damia Nursyaza Zulkafli,31, Pentadbir jualan

MUHAMMAD AZLAN
MUHAMMAD AZLAN

“Akses fasiliti kesihatan yang meluas di pelbagai kawasan turut memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan tanpa halangan.”- Muhammad Azlan Mohd Ariff@Aris, 35, Pekerja swasta

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!