Kanak-kanak lelaki lemas di kolam air panas

MELAKA - Percutian sebuah keluarga dari Pahang ke Melaka bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas di kolam air panas di sini pada malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa berusia enam tahun tersebut ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terapung di kolam dewasa oleh orang awam.
Kejadian berkenaan dilaporkan kepada Pasukan Rakan Komuniti (Parakom).
Pasukan yang tiba di lokasi kejadian segera memindahkan mangsa ke tempat selamat sebelum melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan menghubungi talian kecemasan MERS999.
Ambulans Hospital Alor Gajah yang tiba bersama pasukan perubatan kemudian membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.24 malam.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa berada di bawah pengawasan ibu saudaranya dan kakak.
Namun kanak-kanak lelaki itu dipercayai telah pergi ke kolam dewasa tanpa disedari ahli keluarga yang lain sebelum ditemui lemas oleh orang awam.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian,
Beliau memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dari Pahang lemas di kolam air panas di Melaka pada malam Ahad
- Mangsa ditemui terapung dan tidak sedarkan diri di kolam dewasa oleh orang awam
- Pasukan Rakan Komuniti dan ambulans bertindak cepat memberi bantuan CPR dan menghantar mangsa ke hospital
- Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital Alor Gajah pada jam 8.24 malam
- Ketua Polis Daerah Alor Gajah mengesahkan kejadian dan menyatakan siasatan lanjut akan dijalankan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

