Inkues Zara Qairina: Guru dedah insiden 'spotcheck' dalam kelas, wang RM20 hilang

Allahyarham Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina
A
A
A

KOTA KINABALU – Saksi ke-61 dalam inkues Zara Qairina Mahathir memberitahu mahkamah mengenai kejadian yang berlaku dalam kelas pada 14 Julai 2025 berhubung seorang pelajar yang kehilangan wang dan pemeriksaan secara mengejut dilakukan pada hari kejadian.

Mohd Sham M Nasir, 27, yang juga seorang guru mata pelajaran Geografi, menyatakan perkara itu semasa membaca pernyataan saksinya dan turut memaklumkan bahawa sekumpulan pelajar lain telah menuduh Zara Qairina terlibat dalam kejadian tersebut.

“Pada 14 Julai 2025 jam lebih kurang 12.15 tengah hari semasa saya mengajar kelas Tingkatan Satu, saya lihat seorang pelajar dalam keadaan sedih dan seakan-akan mahu menangis.

“Saya telah bertanya kepada pelajar tersebut mengapa dia kelihatan sedih dan dia memberitahu bahawa dia telah kehilangan wang semasa pergi ke makmal Sains. Pelajar itu memaklumkan bahawa dompetnya yang diletakkan di atas meja dan mengandungi wang sebanyak RM20 telah hilang.

“Saya telah bertanyakan kepada semua pelajar dalam kelas sama ada sesiapa tahu siapa yang terakhir keluar dari kelas, namun semua pelajar mendiamkan diri,” katanya semasa memberikan keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada Jumaat.

Tambahnya lagi, semasa pelajar tersebut memaklumkan kepadanya berkenaan kehilangan wang, semua pelajar lain turut mendengar, terutama pelajar perempuan.

“Oleh sebab semua pelajar mendiamkan diri selepas saya bertanya tentang kehilangan wang itu, saya telah menjalankan pemeriksaan mengejut (spotcheck) terhadap semua pelajar yang hadir pada hari tersebut, termasuk Zara.

“Saya melakukan 'spotcheck' ke atas beg sekolah, dompet, poket seluar dan poket baju bagi pelajar lelaki. Manakala bagi pelajar perempuan, saya telah mengarahkan Penolong Ketua Kelas untuk membuat pemeriksaan.

"Pemeriksaan itu dilakukan selama 10 hingga 15 minit sahaja. Hasilnya, wang yang hilang tidak ditemui. Selepas pemeriksaan mengejut dijalankan dan wang masih tidak dijumpai, saya meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQE1).

Ringkasan AI

  • Saksi ke-61 menceritakan tentang insiden kehilangan wang oleh seorang pelajar pada 14 Julai 2025
  • Mohd Sham M. Nasir, guru Geografi, melaporkan pemeriksaan mengejut dilakukan terhadap semua pelajar termasuk Zara Qairina
  • Seorang pelajar melaporkan kehilangan dompetnya dengan RM20 di dalamnya ketika berada di makmal Sains
  • Pemeriksaan mengejut tidak menemui wang yang hilang
  • Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!